04 January 2019

UPAH PEMBANTU PERUBATAN - MURALI ABDULLAH ENGGAN SUSAHKAN ORANG


"Buat masa sekarang memang tangan, kaki tak boleh bergerak dan saya perlu bantuan untuk menguruskan diri. Saya sejujurnya tidak mahu menyusahkan keluarga dalam keadaan begini dan sebab itu saya mengupah pembantu perubatan peribadi untuk menguruskan saya.





"Alhamdulillah dia akan berada dengan saya setiap hari selama lapan jam manakala pada waktu malam pembantu rumah akan mengambil alih tugasnya," kata pengarah drama, Murali Abdullah yang mengambil keputusan untuk mengupah pembantu perubatan peribadi bagi menguruskan dirinya.

Murali, 56, berkata, dia terpaksa menggunakan bantuan pembantu perubatan itu memandangkan bahagian kanan badannya termasuk tangan dan kaki tidak boleh bergerak dan beliau enggan menyusahkan ahli keluarga bagi menjaganya yang diserang penyakit angin ahmar.

Sejak dimasukkan ke hospital berkenaan pada 28 November lalu, pengarah itu sudah dibenarkan pulang pada 17 Disember lalu sebelum ditahan semula di wad lima hari kemudian kerana keadaannya tidak stabil. Bagaimanapun Murali dibenarkan pulang ke rumah pada Khamis.

Pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Shakib Ahmad Shakir turut meluangkan masa melawat Murali.

Menceritakan detik dia diserang angin ahmar, Murali berkata, ketika itu dia menghadiri tayangan perdana filem Polis Evo 2 di sebuah pusat beli-belah sebelum tiba-tiba berasa tidak sihat. Kata Murali, bimbang sesuatu berlaku dia keluar daripada panggung sebelum rebah di kaunter menjual makanan.

Klik untuk gambar besar


"Filem itu baru 30 minit ditayangkan dan secara tiba-tiba saya rasa lain macam... Bimbang menyusahkan orang lain, saya keluar daripada panggung wayang sebelum tiba-tiba rebah ke lantai. Mujur pihak panggung menelefon ambulans dan bawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.

Murali yang pernah diserang penyakit sama pada 2012 memberitahu dia optimis dapat kembali pulih sekali gus kembali mengarah drama.

"Dulu lagi teruk sampai wajah pun tidak boleh gerak tetapi kerana semangat dan gigih melakukan fisioterapi dan urutan saya kembali pulih.

"Kali ini saya kena strok sebelah kanan pula... Saya anggap ini ujian dan seperti mana sebelum ini, saya akan kembali sihat," tuturnya.

Dalam perkembangan sama, Murali turut berterima kasih kepada rakan-rakan penggiat seni yang sudi menziarahinya ketika sakit.

Kata Murali, dia bersuara mengenai ketiadaan mana-mana persatuan seni melawatnya sebelum ini bukan kerana ingin menagih simpati atau bantuan kewangan namun memerlukan kata-kata sokongan bagi memulihkan semangatnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: