28 January 2019

TERKEJUT DS NAJIB DATANG MELAWAT - EBBY YUS TUNAI UMRAH HARI INI


Baru-baru ini, pelawak dan pelakon Ebby Yus telah menerima kunjungan khas dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang datang menziarahinya di kediaman semalam di Kampung Baru, Kuala Lumpur.





Ebby berkata, dia terkejut apabila dihubungi pembantu peribadi Najib semalam memaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu akan berkunjung ke rumahnya pada pagi semalam.

Dalam kunjungan selama kira-kira 15 minit itu, Najib banyak bertanya mengenai perkembangan kesihatan Ebby, selain sempat berpesan kepada Ebby agar menjaga pemakanan supaya tidak dijangkiti penyakit lain dengan mudah.

"Beliau meminta saya menjaga pemakanan supaya tidak dijangkiti penyakit dengan mudah. Najib banyak memberi kata-kata semangat kepada saya.

"Beliau luangkan masa datang menziarah selepas mengetahuinya menerusi laporan berita yang disiarkan mengenai keadaan saya.

"Sebagai tuan rumah, saya terima kedatangannya dengan hati terbuka sebagai tetamu untuk bertanya khabar secara lebih dekat," katanya.

Ebby yang juga pelakon utama sitkom 'Jawatankuasa Kampung Kalut' (JKK) di TV3 berkata, Najib memang mengenalinya kerana dia banyak terbabit dalam program anjuran kerajaan sebelum ini.

"Sebenarnya, setiap tahun ketika sambutan Aidilfitri saya selalu diundang untuk terbabit dalam persembahan di kediaman rasmi Perdana Menteri.

"Malah, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, saya memang selalu mendapat undangan persembahan daripada kerajaan," ujarnya.

Sebelum ini, berita mengenai keadaan kesihatan Ebby mendapat liputan meluas apabila beliau disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan jantung hingga menyukarkan beliau untuk bekerja.

Dalam pada itu, Ebby juga teruja kerana dia akan berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah hari ini hingga 8 Februari ini.

"Syukur, saya kini tak sabar untuk menjejakkan kaki ke Makkah bersama rakan yang menemani untuk sama-sama beribadah di sana nanti.

"Doakan saya selamat pergi dan balik mengerjakan umrah itu," tuturnya yang dijangka berangkat dalam penerbangan jam 6 petang hari ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: