11 January 2019

TIDAK HADIR KE MAHKAMAH - FARID KAMIL DIKENAKAN WARAN TANGKAP


Setelah gagal hadir pada hari keempat perbicaraan kes urin yang dihadapinya hari ini, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari telah dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya.





Waran itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran membuat permohonan tersebut susulan kegagalan Farid Kamil, 38, dan penjaminnya hadir, selain tiada sebarang laporan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada mahkamah.

Nor Ariffin berkata waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh hari ini.

Peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 14 Jan nanti, namun mahkamah tetap mengeluarkan perintah waran tangkap itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah kemudiannya, Megat Syazlee memaklumkan anak guamnya kini berada di Johor Bahru.

Klik untuk gambar besar


"Saya sudah maklumkan kepada Farid malam semalam namun beliau maklumkan tidak sempat datang kerana sedang menjalani penggambaran.

"Dalam prosiding tadi juga, saya sudah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ketidakhadirannya adalah bukannya sesuatu yang disengajakan, sebaliknya beliau keliru kerana terdapat banyak tarikh ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu hari ini.

Pada 25 Jan 2018, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kerana menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: