24 February 2019
AR BADUL: "HAIRAN, APA YANG BUAT MEREKA SERONOK SEBAR KEMATIAN ORANG?"
Berhubung berita palsu kematiannya yang tersebar sejak pagi semalam, pngarah dan pelakon, AR Badul mendakwa berita tersebut mmenyusahkan saudara-mara apabila ada antara mereka sudah menempah tiket kapal terbang untuk menghadiri majlis pengebumiannya.
Katanya, ramai anggota keluarganya tinggal di Singapura, sekali gus desas-desus yang sampai ke telinga mereka membuatkan masing-masing kelam kabut mencari penerbangan ke Kuala Lumpur sementara menunggu kesahihan berita.
"Saya pun hairan, apa yang membuatkan mereka seronok sangat menyebarkan kematian orang? Perkara sebegini menyusahkan ahli keluarga, saudara-mara dan kawan lain yang mungkin enggan terlepas memberi penghormatan terakhir.
"Di pihak saya sendiri, ia tidaklah menjadi beban walaupun sejak pagi telefon berdering tanpa henti apabila masing-masing ingin mendapatkan kesahihan. Ada juga yang terpacul di depan pintu rumah. Alhamdulillah, saya masih diberikan peluang untuk terus bernafas, hari ini.
Klik untuk gambar besar
"Cuma, saya kasihan pada saudara-mara dari jauh yang sudah membeli tiket. Saya juga dimaklumkan, seorang ahli keluarga terdekat nyaris terkena serangan jantung kerana terkejut. Tolonglah, esok atau lusa kalau betul ada kematian, tiada siapa yang datang ziarah sebab takut tertipu," katanya.
Awal pagi semalam, industri hiburan heboh apabila tular di Facebook mengenai dakwaan Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70, meninggal dunia hingga khabar berkenaan dikongsi pula beberapa blog dan laman sosial.
Minggu lalu, bintang veteran itu dimasukkan Unit Rawatan Koronori (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), akibat serangan jantung, namun keadaannya semakin baik selepas pembedahan pemasangan stent.
Beliau memaklumkan sudah dibenarkan keluar hospital sejak Rabu lalu dan kini berehat di kampung isterinya di Pahang. Badul akan kembali semula ke IJN bagi menjalani prosedur pemasangan stent, kali ini pada bahagian kiri jantung, 4 Mac depan.
"Syukur kesihatan saya bertambah baik dan saya rasa bertenaga. Cuma, doktor menasihatkan saya menjaga pemakanan selain mengikut amalan gaya hidup sihat. Rasanya, kalau ajak saya main bola petang nanti pun saya boleh ikut," katanya yang sempat bergurau.
Begitupun, nada suara Badul kembali serius apabila ditanya mengenai tindakan susulan terhadap individu atau kumpulan yang sengaja mencetuskan serta menularkan berita palsu itu.
Ulasnya, sebagai insan biasa, beliau sedia memaafkan pihak terbabit, malah enggan memanjangkan perkara itu. Bagaimanapun dirinya tetap berharap mereka jangan mengulangi perbuatan menganiaya orang lain seperti itu.
"Sebelum ini, Allahyarham Saleem pernah berdepan isu sama. Kini, saya pula dan saya tahu, ramai lagi artis lain yang berdepan berita palsu sebegini. Hentikan perbuatan ini kerana tiada sebarang faedah pun kononnya dapat jadi yang pertama.
"Sebab itu saya lebih percayakan akhbar. Susah nak cakap apabila golongan anak seni sahaja kerap jadi sasaran berita palsu kematian. Mungkin kerana kami sudah dicop sebagai 'bahan viral' paling senang untuk raih perhatian.
"Apa pun, buat sanak saudara, saya secara peribadi meminta maaf sebab berita palsu ini menyusahkan semua pihak. Semoga individu itu insaf, manakala orang lain pula tidak mudah sebarkan pula di media sosial," katanya yang dinobatkan sebagai Pengarah dan Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Kelapan (FFM8), menerusi 'Oh Fatimah'.
Isteri AR Badul, Maizatul Osman, 39, menafikan berita yang tular di laman sosial Facebook bahawa suaminya telah meninggal dunia. Maizatul berkata, sejak menjalani pembedahan, keadaan suaminya itu beransur pulih: "Insya-Allah dia semakin sihat".
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Kosmo & Facebook AR Badul
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment