24 February 2019

DEDAH PERNAH DIKECAM BUKA TUDUNG - RAJA EMA BERTEKAD


"Selepas tidak bertudung beberapa tahun lalu, saya hanya bertudung kerana tuntutan watak dan ketika itu saya baru berjinak-jinak untuk biasakan diri untuk bertudung. Teruk juga saya dikecam. Apa salahnya mendoakan saya. Bukankah lebih baik?





"Biasalah, manusia apabila selalu dihentam dan dikecam, hati akan jadi lebih keras. Seelok-eloknya berilah waktu kerana hati manusia tidak sempurna, begitulah dunia ini," kata penyanyi dan pelakon popular era 1980-an, Raja Ema.

Pernah bertudung ketika masih berkahwin tetapi menanggalkannya apabila membuat kemunculan semula pada 2012. Dua tahun kemudian, dia kembali dengan imej bertudung dan sehingga hari ini, Raja Ema kekal dengan imej itu.

Raja Ema, 50, berkata, dia tidak akan menerima tawaran berlakon sekiranya skrip menuntut dia membuka tudung atau mendedahkan rambutnya.

Klik untuk gambar besar


Katanya, jika ada insan yang membuat kesilapan, masyarakat sepatutnya mendoakan supaya insan itu berubah. Tanpa berselindung, penyanyi lagu 'Jejaka Idaman' ini pernah dikecam apabila mengambil keputusan untuk tidak bertudung selepas kembali berlakon.

Dalam pada itu, Raja Ema mengakui selepas dua tahun mengambil keputusan untuk berehat kerana memberi tumpuan pada perniagaan produk kecantikan, dia sudah bersedia untuk kembali berlakon.

Dalam tempoh itu, dia menolak banyak tawaran berlakon kerana mengikuti aktiviti perniagaan ke seluruh negara serta Singapura dan Brunei.



"Syukur perniagaan sudah semakin baik dan saya boleh serah kepada kakitangan untuk menguruskannya. Tahun ini saya sudah ditawarkan berlakon dalam filem 'Keluarga Iskandar The Movie'. Ini adalah projek lakonan pertama selepas benar-benar bertudung," tuturnya.

Bercerita mengenai filem diadaptasi daripada siri televisyen popular berjudul 'Keluarga Iskandar' itu, dia tidak menyangka akan dipanggil semula berlakon dalam filem itu. Raja Ema tampil sebagai pelakon jemputan untuk episod akhir siri itu sebelum ini sebagai Huzairah.

"Kali ini Huzairah kembali sebagai salah satu watak utama dan saya teruja untuk berlakon dalam filem ini yang baru memulakan penggambaran," ujarnya.



Selain Raja Ema, pelakon asal yang turut menjayakan filem itu ialah Hilal Azman, Zain Hamid, Azhar Sulaiman, Anita Baharom dan Kismah Johar. Turut berlakon Zara Zya, Ajak Shiro, Faiz Dickie, Zarina Zainuddin, Mustaqim Mohamed dan Amy Mastura sebagai pelakon undangan.

Selain itu, ibu kepada Putera Ammar Shahrin, 24, dan Putera Alkashah Shahrin, 20, ini juga bakal tampil dengan single terbaru berjudul I.D Cintamu ciptaan Fauzi Marzuki.

Raja Ema berkata, lagu itu dibuat sebagai hadiah kepada peminat yang masih menyokong kerjaya seninya sejak 1980-an. Apa yang menarik, lagu itu juga diberi sentuhan melodi era itu kerana percaya masih ada pendengar yang masih boleh menerima rentak itu.

Katanya, lagu itu adalah kesinambungan kepada lagu 'Jejaka Idaman' dan 'Angan-Angan' yang pernah mengangkat namanya dulu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Raja Ema


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: