17 February 2019

"BILLY TUNJUK TINDAK BALAS POSITIF" - LANA NODIN


"Anak saya juga sudah boleh bernafas sendiri, tanpa memerlukan bantuan mesin. Begitupun, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Justeru, kemungkinan dia memerlukan ventilator atau mesin bantuan pernafasan tetap ada.





"Apatah lagi jantungnya pernah terhenti selama 10 minit, sebelum ini. Jadi, tentu sahaja pengawasan ketat diperlukan kerana bimbang ia boleh membawa kepada masalah lain, seperti kerosakan otak.

"Bagaimanapun, jururawat bertugas memaklumkan, Billy sudah menunjukkan tindak balas positif seperti membuka mata," demikian kata pelakon Lana Nodin.

Lana menarik nafas lega apabila anak kedua, William Daud McKienzie atau nama panggilan Billy itu menunjukkan tindak balas positif selepas menjalani pembedahan akibat masalah injap sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara (IJN), Khamis lalu.

Klik untuk gambar besar


Memaklumkan anak lelakinya itu dalam keadaan selamat dan terkawal, Lana bagaimanapun berkata, Billy masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi tujuan pemantauan rapi.

Pelakon berusia 39 tahun itu berkata dia tidak berhenti memanjatkan doa, selain ingin berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mendoakan kesihatan anak lelakinya.

Pada masa sama, pelakon filem 'Biasan dan Chow Kit' ini tetap bersedih mengenangkan keadaan permata hatinya yang dimasukkan ke IJN sejak Isnin lalu.



"Melihat keadaannya kini, saya hanya mampu berharap dia akan sembuh dengan segera. Tak sabar nak peluk dia erat-erat," tuturnya.

Untuk makluman, menerusi perkahwinannya dengan David atau nama Islamnya Mohd Daud Mckienzie, pada 15 Mei 2015, Lana dikurniakan dua cahaya mata.

Selain Billy yang dilahirkan pada 27 Disember lalu, mereka juga dianugerahkan seorang puteri, Gia Quinn McKienzie, yang kini berusia dua tahun.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: