26 February 2019

ISU 'SUARA KEMEK' - SUFIAN & AZMEER BERSEMUKA SELESAIKAN


"Pertemuan ini membuktikan tiada sebarang kemelut yang berlaku antara kami. Ulasan saya mengenai 'suara kemek' ketika sidang media AJL 33 tempoh hari adalah secara umum dan tidak menjurus kepada Sufian seperti didakwa. Ia sebaliknya, ditujukan kepada penggiat muzik baharu secara keseluruhan.





"Saya mahu orang di luar sana tahu pertemuan ini adalah untuk membersihkan nama saya yang tercalar ekoran kontroversi itu," kata ketua juri Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), Azmeer apabila hasratnya untuk bersemuka dengan penyanyi Sufian Suhaimi bagi menyelesaikan kontroversi 'suara kemek' terlaksana, malam semalam.

Pada pertemuan itu, Azmeer atau nama lengkapnya, Mohd Azhar Abu Bakar, 53, sekali lagi menegaskan, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan ke atas penyanyi itu seperti didakwa.

Sebagai penggiat seni profesional dan ahli akademik, Azmeer berkata, dia dihantui perasaan bersalah sekiranya kontroversi itu tidak diselesaikan segera kerana ia membabitkan maruah penyanyi Di Matamu itu.

Walaupun isu itu sudah dianggap selesai, Azmeer berkata, dia berkemungkinan besar akan mengambil tindakan yang sesuai ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita yang disifatkan sebagai fitnah.

"Saya belum lagi berjumpa dengan pihak berkaitan dan atas nasihat peguam, segala urusan membabitkan isu itu perlu melalui mereka. Buat masa ini, kami masih lagi berbincang.

"Pada awalnya, saya tidak ambil kisah sangat, namun bagi tujuan mendidik khalayak supaya tidak menyebarkan fitnah sewenang-wenangnya, tindakan sebegini perlu diambil," tuturnya.

Sementara itu, Sufian, 27, mengakui dia langsung tidak mengambil hati dengan isu yang timbul kerana tidak mahu kejayaannya mengungguli trofi Persembahan Terbaik pada AJL 33 lalu terganggu.

"Saya memang langsung tidak ambil hati kerana sebelum ini, sudah lali mendengar pelbagai komen mengenai suara saya. Jadi, isu ini bukan perkara yang baharu.

"Apapun, saya gembira mengetahui isu yang tercetus itu bukan ditujukan kepada saya dan berharap pertemuan ini dapat menjelaskan salah faham pelbagai pihak," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: