13 February 2019

LANA NODIN: "YA ALLAH... JANGAN TARIK NYAWA ANAKKU, IZINKAN AKU DIBERI PELUANG.....


Ketika anak keduanya, William Daud Mckienzie atau dipanggil Billy, diletakkan di bawah pengawasan rapi berikutan masalah injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN), pelakon Lana Nodin memberitahu dia dalam linangan air mata berdoa dalam solat hajat.





"Ya Allah... Jangan tarik nyawa anakku. Izinkan aku diberi peluang membesar dan mendidiknya sampai nafas terakhir. Tak dapat saya bayangkan jika nyawanya ditarik... Pasti luluh rasa hati ini. Saya harap orang ramai dapat sama-sama mendoakan Billy," luahnya.

Doa yang tidak pernah putus dimakbulkan apabila Billy yang berdepan detik cemas gara-gara jantungnya terhenti 10 minit ketika bersiap memulakan pembedahan, petang semalam, dilaporkan stabil.

Menceritakan insiden itu, Lana menganggap detik itu sangat magis buat dirinya dan keluarga. Billy dikesan mengalami masalah injap atau aortic stenosis sejak dilahirkan dua bulan lalu.

"Sangat magis kerana dalam tempoh 10 minit itu, jantung Billy berhenti berdegup. Difahamkan, ketika doktor memasukkan tiub ke jantung, dia seolah-olah terkejut seperti sendawa.

Klik untuk gambar besar


"Doktor memberi bantuan pernafasan tapi gagal. Doktor kemudian menggunakan tiub elektrik untuk menggegarkan jantung dan kembali berdegup," tuturnya.

Lana berkata, berikutan insiden itu, prosedur pembedahan membetulkan injap yang dirancang, terpaksa dihentikan.

"Kes seperti ini jarang berlaku. Doktor beritahu, dalam 300 kes ada satu kes seumpama ini yang terjadi. Doktor maklumkan esok mereka akan berbincang sama ada mahu teruskan pembedahan mengikut prosedur asal atau buat 'open heart'. Itu pun berisiko. Selepas itu, baru kami buat keputusan mana yang terbaik.

"Buat masa sekarang, saya masih buntu dan sedang berbincang dengan suami. Saya sedih dan tak sanggup melihat keadaan anak. Dari semalam saya tidak tidur lena kerana memikirkan keadaannya," ujarnya.

Ditanya mengenai keadaan anaknya sekarang, Lana memberitahu anak keduanya itu dalam keadaan stabil dan sekarang bernafas dengan menggunakan bantuan mesin.



"Anak stabil, cuma dia masih dalam pemantauan doktor untuk tempoh 24 jam lagi. Billy memerlukan 48 jam untuk terus stabil. Sekarang dia bernafas dengan bantuan mesin. Kalau esok dia boleh bernafas sendiri, kita boleh teruskan prosedur pembedahan membetulkan injap. Kalau tidak, pemantauan akan terus dibuat.

"Semalam sewaktu dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi), dia memberikan maklum balas ketika saya memanggil namanya. Saya lihat air matanya mengalir. Pagi tadi juga doktor maklumkan anak saya memberikan respon," katanya.

Lana berkata, sebagai ibu dia hanya mahu melihat anaknya sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain.

"Kalau nak doakan, doakan untuk anak saya. Saya berharap sangat dia boleh selamat dan seterusnya sembuh. Saya berdoa kepada Allah berilah saya dan suami peluang untuk membesarkannya," jelasnya.



Menurut Lana, dia hampir pengsan apabila dimaklumkan suami, jantung anaknya terhenti selama 10 minit semalam.

"Saya terkejut dan menangis. Saya terus bertanya doktor bagaimana ia boleh berlaku. Saya juga tanya apa yang perlu dilakukan selepas ini.

"Sejak semalam saya tidak tenang. Saya juga tidak melihat telefon sebab takut jika ia panggilan dari ICU. Setiap kali telefon berbunyi, saya minta suami tengokkan," ceritanya.

Terdahulu, perkongsiaan Lana yang berdepan keadaan di mana anaknya yang berusia dua bulan itu menghadapi masalah injap jantung, pantas meraih simpati netizen. Billy dikesan mengalami masalah injap atau aortic stenosis sejak dilahirkan dua bulan lalu.

Untuk makluman, Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 39, mendirikan rumah tangga dengan David atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckienzie pada 15 Mei 2015. Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Gia Quinn McKienzie yang berusia dua tahun.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, harian Metro & Instagram David Mckienzie


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: