14 February 2019

"MAAFKAN IBU NAK" - ZARINA ZAINUDDIN TERPAKSA BAGI UBAT


Pelakon Zarina Zainuddin memberitahu yang dia dengan berat hati terpaksa memberi dua puteranya yang mengalami autisme, sejenis ubat bagi mengawal tingkah laku mereka daripada terlalu agresif.





Jelas Zarina, dia tiada pilihan selain memberikan anak kembarnya, Muhammad Raizal Azrai atau Azal dan Muhammad Razil Azrai (Azil) sejenis ubat dalam dos kecil, biarpun sedar kesannya kepada mereka.

"Saya buntu kerana tidak tahu pendekatan yang perlu diambil. Pada mulanya, saya enggan membiarkan mereka bergantung kepada ubat. Ini kerana tubuh mereka jadi lemah dan tidak berselera untuk makan selepas diberi ubat itu.

"Namun, rentetan kejadian kelmarin, saya terpaksa memberi Azal dan Azil ubat dalam dos yang sedikit. Kadang kala, saya dan suami tidak dapat mengawal tenaga mereka yang semakin membesar," katanya.

Klik untuk gambar besar


Zarina berkata, situasi di mana Azal dan Azil menjadi agresif bukan dihadapinya sendirian, malah suami turut berdepan senario sama.

"Perkara ini dialami suami saya juga. Ada kalanya, dia terkena lebih teruk seperti digigit dan dicakar hingga luka. Cuma saya tidak memuatnaik rakaman video dalam media sosial atas permintaannya," tuturnya yang terpaksa menahan sakit setiap kali anak-anaknya bertindak sedemikian.

Zarina ketika dihubungi berkata, sebelum ini dia memberikan ubat sekali sehari iaitu pada waktu malam. Namun, memandangkan usia semakin meningkat, anaknya itu menjadi terlalu aktif selain menggunakan tenaga yang banyak.

"Atas nasihat doktor, saya kena juga berikan Azil ubat atau dos tambahan supaya dia tidak menjadi terlalu hiperaktif. Adik kembarnya iaitu Azal masih boleh dikawal. Azil saja yang perlukan pemantaun dan penjagaan lebih kerana tahap keaktifan mereka berbeza.



"Sekarang, Azil semakin agresif dan dia menjadi semakin hiperaktif. Disebabkan itu, selepas membuat pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, saya disarankan untuk tambah dos.

"Jika tak, ia boleh memudaratkan dirinya, saya dan orang sekeliling. Jadi, bermula semalam (12 Februari 2019) saya sudah mula berikan ubat pada waktu pagi iaitu bagi kadar separuh dan malam bagi kadar penuh," katanya.

Zarina berkata, nasihat doktor itu sudah lama namun dia tidak berbuat sedemikian kerana kasihan melihat keadaan anaknya yang menjadi lemah seperti orang sakit.



"Azil memang tak boleh dibiar sendirian. Tak macam adiknya. Kalau saya tak ada aktiviti memang saya menjaganya. Disebabkan itu saya bagi ubat pada waktu malam saja. Hari ini Azil kelihatan okey. Cuma, saya masih perlu ada di sisinya," ceritanya.

Menurut Zarina, insiden yang berlaku kelmarin seperti yang dimuatnaik di laman Instagram bukan untuk meraih simpati atau sengaja dikongsi.

"Saya yang melalui perkara ini, jadi saya lebih tahu. Apa yang Azil buat semalam (kelmarin) itulah keadaan dirinya sekarang jika tidak diberikan dos tambahan," tuturnya.

Zarina sebak mengenangkan nasib Azal dan Azil sekiranya terjadi apa-apa kepada dirinya dan suami pada masa depan. Zarina berkata, setiap manusia diuji dengan dugaan berbeza.



"Bengkak mata saya memikirkan nasib Azal dan Azil jika kami sudah tiada lagi. Saya berterima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu dan memberikan kata-kata semangat.

"Saya menganggap ujian Allah ini sebagai kifarah dosa lalu dan menghadapinya dengan sabar. Bukan mencari publisiti murahan dengan memperbodohkan diri dalam media sosial. Apa yang saya buat adalah memberi kesedaran mengenai autisme," ujarnya.

"Cuma kita tidak boleh menghakimi kerana tidak berada di tempat mereka. Saya turut mencuba beberapa saranan pengikut Instagram, cuma ia bukanlah mudah... Tidak semua orang sama," jelasnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro & Instagram Zarina Zaiduddin


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: