16 February 2019

MAMAT KHALID KINI BERANSUR PULIH & TAK PERLU ALAT PERNAFASAN


Isteri kepada pengarah popular, Mamat Khalid, 56, iaitu Hasmah Hassan memberitahu perkembangan terkini suaminya yang kini dirawat di pusat perubatan di Petaling Jaya, itu kini beransur pulih dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.





Menurutnya, doktor juga belum memberitahunya dan keluarga bila Mamat akan dipindahkan ke wad biasa atau keluar dari hospital.

"Keadaan abang Mamat semakin beransur pulih sekarang dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan lagi selepas 22 hari dirawat di hospital.

"Namun, doktor belum merancang untuk memindahkannya ke wad biasa kerana masih memantau perkembangan kesihatannya di Unit Rawatan Koronari (CCU). Sebenarnya, doktor juga mahu abang Mamat berehat lebih lama di hospital.

"Maklumlah, bila orang ramai dan kenalan datang melawat abang Mamat di hospital, dia menjadi sangat teruja hingga jantungnya bergerak laju dan tekanan darahnya juga tinggi," katanya.

Kata Hasmah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Intan, doktor juga meminta Mamat lebih banyak tidur dan berehat supaya kesihatannya cepat pulih.

Klik untuk gambar besar


"Saya juga diminta pulang ke rumah oleh jururawat bila tekanan darah abang Mamat naik semalam untuk membolehkannya berehat tanpa gangguan.

"Doktor juga tahu abang Mamat memang kuat bekerja sebab itu dia suruh berehat lebih lama sebelum kembali berkarya," jelasnya.

Terdahulu, Mamat yang popular dengan siri filem 'Hantu Kak Limah' dan 'Rock' dilaporkan dalam keadaan kritikal pada 25 Januari lalu akibat masalah paru-paru dan jantung.

Bagi memastikan jantungnya kembali stabil, pakar perubatan merehatkan pengarah terbabit selama 48 jam dengan memberikan dos ubat yang membolehkannya tidur.

Sebelum ini, bapa lima cahaya mata itu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sekitar 2017 kerana sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuh raya Ke Neraka.

Tiga tahun sebelumnya, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat kerana masalah jantung.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: