09 February 2019

TAHAP KESIHATAN BENJY MEMBIMBANGKAN - ZED ZAIDI TETAP TERUS BANTU


Walau mendapat reaksi kurang senang segelintir pihak, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) tetap meneruskan niat membantu menampung kos perubatan Benjy yang kini dipenjarakan di Medan, Indonesia.





Menurut Presidennya, Zed Zaidi, mereka menerima mesej dan surat bantahan sebaik sahaja persatuan terbabit mengumumkan penganjuran Larian Amal SENIMAN Run 2.0 serta melancarkan Tabung Prihatin Seniman, Disember lalu.

"Masih ramai yang skeptikal sebaik sahaja SENIMAN merancang mengadakan projek amal ini, sedangkan hakikatnya hasil sumbangan dan yuran penyertaan turut disalurkan kepada ahli yang memerlukan.

"Kita mahu menolong Benjy kerana kesihatannya kini berada pada tahap membimbangkan apabila kerap diserang asma dan nyaris mendapat penyakit batuk kering.

"Dalam keadaan itu, nilai kemanusiaan mendahului segala-galanya, tambahan pula adik-beradiknya kini menjaga bapa mereka yang diserang angin ahmar.

Klik untuk gambar besar


"Benjy sudah berdepan hukuman penjara di atas kesilapan dilakukan, namun sebagai insan, kita wajar memberikan sokongan moral dan bantuan untuk mengubati sakitnya," katanya.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 40, menjalani hukuman penjara 11 tahun tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, akibat kesalahan dadah pada Oktober 2017.

Pelakon itu ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Deli Serdang, Sumatera Utara, enam bulan sebelum tarikh jatuh hukum.

Selepas mendengar aduan rakan terdekat mengenai kesihatan Benjy, Zed ditemani Setiausaha Agung persatuan itu, Hafiz Nafiah, melawat pelakon terbabit, Disember lalu.

"Dalam kunjungan selepas hampir dua tahun Benjy di sana, kami sempat membawanya ke klinik di dalam kompleks berkenaan apabila mendapati dia batuk berterusan. Cuma, dia tetap memerlukan perubatan dan rawatan berkala untuk membolehkan kesihatannya kembali pulih," ujarnya.



SENIMAN berusaha membantu Benjy dengan mewujudkan tabung khas bagi membolehkan pelakon yang kini ditahan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, menjalani rawatan dan mendakan ubat-ubatan.

Menurut Zed, dia masih terkenang tangisan Benjy sepanjang perbualan mereka dan kekesalan melakukan kesalahan itu, semata-mata akibat desakan hidup.

Sementara itu, Larian Amal SENIMAN Run 2.0 yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 16 Februari ini meraih sambutan kira-kira 3,000 peserta.

Kata Zed, sebahagian daripada yuran penyertaan disalurkan ke Tabung Prihatin SENIMAN, malah orang ramai juga boleh memberikan sumbangan secara terus tanpa menyertai acara itu.

"Kita akan tengok nanti keadaan Benjy, namun bantuan kewangan akan tetap disalurkan kepadanya bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan mendapatkan ubat-ubatan," ulasnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: