22 February 2019

TERUS IKHTIAR CARI PENAWAR - AWIE USAHA CARI DANA BAWA WINGS UMRAH


"Inilah ketentuan Allah untuk menduga iman manusia. Setiap sakit pasti ada penawar dan kita tidak harus berhenti berusaha. Saya menganggap ujian ini sebagai penghapus dosa lampau dan membuatkan saya tidak mudah alpa.





"Mungkin sebelum ini saya kurang bersujud dan dugaan ini menjadi peringatan daripada-Nya. Iman bukan sahaja ada dalam ingatan, sebaliknya harus diamalkan.

"Saya pasrah dengan ujian yang dihadapi dan ia menjadi pengajaran untuk masa depan," penyanyi vokalis kumpulan rock Wings, Awie yang menganggap dugaan dihadapinya sekarang sebagai kifarah dosa lampau dan dijadikan pengajaran untuk dikongsi bersama anak serta cucu.

Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, 55, ditimpa pelbagai penyakit selepas pulang daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini. Sejak Disember lalu, sekembalinya dari Tanah Suci Makkah, Awie dilaporkan tidak sihat.

Klik untuk gambar besar


Sebelum ini, dia pernah dilaporkan terlantar hampir seminggu di sebuah pusat perubatan di ibu negara selepas mengalami kesukaran bernafas.

Penyanyi itu turut mengadu sakit perut, selain bahagian belakangnya pula terasa seperti dicucuk dengan benda tajam yang membara.

Ditanya mengenai keadaannya ketika ini, Awie berkata, dia masih mendapatkan nasihat pakar berhubung masalah kesihatan, setiap bulan.



"Alhamdulillah, kesihatan saya beransur pulih, cuma masih kurang boleh berjalan. Selain rawatan moden, saya turut mendapatkan khidmat tradisional. Tidak kira apapun, saya tetap berikhtiar untuk mencari penawar penyakit," ujarnya.

Awie berkata, dia bersyukur ibadat umrah dapat disempurnakan dengan lancar, penghujung tahun lalu. Tambahnya, dia sedang mencari dana untuk menyempurnakan hasrat membawa anggota Wings mengerjakan ibadat berkenaan, tahun ini.

Awie yang merancang menganjurkan konsert Wings pada pertengahan November depan di beberapa lokasi terpilih itu berkata, biarpun berdepan masalah kesihatan, dia perlu kuat bagi mencari rezeki untuk anak dan isteri.

"Saya perlu menguatkan semangat beraksi di pentas membuat persembahan walaupun terpaksa duduk di kerusi dan bertongkat," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Awie Wings


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: