18 February 2019

UQASHA: "URUSAN BERTUDUNG DENGAN TUHAN, BUKAN PUASKAN HATI ORANG"


Pelakon Uqasha Senrose yang pernah bertudung suatu ketika dahulu itu mengakui selesa dengan imej yang dibawa ketika ini namun pada masa sama tidak menafikan akan kembali bertudung pada masa depan.





Pengalaman berharga menunaikan ibadah umrah bersama keluarga sekitar Disember tahun lalu membuatkan Uqasha mudah berlapang dada dan tenang menghadapi cabaran dalam kehidupan terutama dalam cabang seni yang penuh onak duri.

Berita kepergian pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen ke Tanah Suci mendapat pujian dan maklum balas positif dalam kalangan peminat.

Wanita berusia 27 tahun itu mengakui banyak mendapat kata-kata semangat daripada orang ramai atas urusan ibadahnya. Tidak kurang, ramai yang mendoakannya kembali bertudung seperti sebelum ini.

"Sebenarnya, saya takut juga sebab itu saya tidak berkongsi banyak sangat perkembangan atau foto ketika menunaikan umrah. Saya tidak mahu urusan yang sepatutnya menjadi peribadi antara saya dengan Allah menjadi buah mulut orang. Takut tersalah berkongsi foto dan timbul perkara yang tidak elok," kata Uqasha.

Klik untuk gambar besar


Melanjutkan perbualan, pelakon yang cukup dikenali menerusi drama 'Tundukkan Playboy' Itu berkata, banyak momen yang berharga berlaku pada dirinya ketika mengerjakan urusan ibadah berkenaan.

Menghela nafas panjang sebelum meneruskan bicara, banyak kali lantunan butir perkataan daripada bibirnya terbantut. Katanya, dia tidak mahu berkongsi terlalu terperinci kerana bimbang dilabel sebagai riak apabila berkongsi hal berkaitan agama.

"Saya takut salah cakap. Takut riak pula (ketawa). Apa yang boleh saya kongsi, saya dapat rasa hidup lebih berkat, semacam lebih teratur perjalanannya. Urusan di sana amat dipermudahkan. Alhamdulillah.

"Banyak momen indah berlaku di sana. Misalnya, urusan bangun pagi di sana amat mudah kerana ada penjaga dan bimbingan.



"Perasaan tenang itu tidak tahu bagaimana hendak dihuraikan.Sangat lega dan seperti yang saya cakap tadi, segala urusan dipermudahkan.

"Masjid Nabawi itu punyalah besar dan ramai orang beribadah namun apabila grup saya dan keluarga terpecah, kami mudah bertemu semula," kongsi Uqasha yang merancang untuk kembali menunaikan umrah sekitar bulan Ramadan nanti.

Diusulkan pertanyaan tentang rezeki karier yang semakin melimpah-ruah sejak pulang daripada menunaikan umah, wanita itu tidak menafikan perkara tersebut.

"Alhamdulillah. Rezeki bertambah. Dari segi tawaran drama, pengacaraan dan peluang menjadi duta produk," ungkap ringkas Uqasha yang baru-baru ini dilantik sebagai duta produk kecantikan, C Clean.



Disulami kerjaya seninya yang kembali bersinar dan ruang kontroversi yang semakin mengecil, Uqasha kembali ditebak persoalan mengenai imej. Tidakkah pernah terdetik di hatinya untuk bertudung semula, begini jawab Uqasha:

"Saya pernah melalui proses tidak bertudung menjadi bertudung dan kemudian kembali tidak bertudung. Kalau boleh, saya tidak mahu membuat keputusan drastik yang boleh menimbulkan cakap-cakap buruk orang terhadap saya.

"Urusan bertudung adalah antara seseorang dengan Tuhan, bukan untuk memuaskan hati orang lain. Selepas ini saya berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Pakai tudung bukan kerana situasi atau seseorang. Niat perlu datang dari hati dan kalau sudah benar-benar bersedia, perlu ingat, kita buat kerana Allah," tuturnya.



Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga mengakui, keputusan yang diambil untuk bertudung sebelum ini dilakukan secara terburu-buru.

"Saya tahu bertudung memang wajib untuk wanita Muslim namun kalau belum bersedia, jangan paksa buat perkara yang kita sendiri belum bersedia untuk melakukannya.

"Kalau ingin bertudung biar ikhlas bukan disebabkan paksaan atau desakan. Bagi saya sendiri, saya tidak mahu kalau sudah bertudung namun perbuatan tidak mencerminkan imej itu," tutur pelakon filem 'Hantu Kak Limah 3' itu.

Selesa dengan penampilannya kini, Uqasha mengharapkan jalan hidupnya akan terlalu terarah terhadap perkara-perkara yang positif pada masa akan datang.

"Saya sentiasa ingin berada pada jalan yang benar. Insya-Allah, saya ingin menambah kebaikan selepas ini dengan bertudung. Cuma buat masa sekarang saya selesa begini. Soal bertudung atau tidak, kalau Tuhan tiup hidayah pada diri kita, bila-bila masa sahaja perubahan akan berlaku," terangnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Uqasha Senrose


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: