01 March 2019

38 TAHUN DALAM INDUSTRI - SALIH YAACOB MAHU CEBURI BISNES HARTANAH PULA


Penghibur berpengalaman Salih Yaacob, 58, yang masih bertugas di konti radio Sinar memberitahu pada usia sudah setengah abad, dia kini ada impian baru mahu dikejar. Katanya, dia tidak menyangka namanya masih mampu bertahan hingga kini, apatah lagi ramai juga dalam kalangan rakan seperjuangannya sudah tiada.





"Selama 38 tahun dalam industri seni, saya sudah puas kerana pernah bergelar pelakon, penyanyi, pengacara, pelawak, penyampai radio dan menjayakan konsert. Tidak ada apa lagi yang saya inginkan selain cuba menceburi perniagaan pula dalam bidang hartanah seperti perhotelan dan inap desa.

"Dah lama sangat rasanya dan sudah tiga dekad pun saya bertahan. Walaupun masih sayang (karier seni), tetapi saya harus akur bahawa sekarang era baru yang didominasi generasi muda.

"Untuk bersaing dengan mereka (generasi muda) dalam penggunaan kemudahan teknologi masa kini, saya akui perlu banyak belajar. Namun, saya tetap bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana melalui karier seni ini juga saya dapat sara keluarga dan besarkan anak," katanya.

Klik untuk gambar besar


Ditanya apakah ada rajuk di hatinya, Salih menafikan dan memberitahu dia hanya sedar masa kegemilangan sudah berlalu.

"Tidak ada apa yang saya terasa hati pun. Cuma, melihat pada faktor usia yang makin meningkat ini membuat saya terfikir masanya sudah tiba. Sekarang, saya harus sedia untuk mencuba bidang baru yang sesuai dengan keadaan diri seperti bidang perniagaan," tuturnya.

Menurutnya, sampai bila dia harus berasa selesa dalam zon sekarang yang sudah bertukar ke arah penguasaan teknologi. Sudah 13 tahun berkhidmat di stesen radio Sinar, Salih berkata, dia sangat berterima kasih kepada pendengar yang setia menyokongnya.



"Saya hanya mampu ucap terima kasih pada sokongan anda (pendengar) semua. Semoga Allah SWT membalas segala-galanya. Malah, saya mohon doakan juga semoga impian untuk berjaya dalam perniagaan yang ingin diceburi selepas ini menjadi kenyataan," ujarnya.

Untuk makluman, Salih mula menceburi bidang lakonan pada era 1980-an menerusi Pentasrama dan bakat seninya sebagai pelakon diketengahkan pelawak dan pengarah, AR Badul.

Seangkatan dengan Allahyarham Mr Os, Salih cukup dikenali menerusi filem seperti 'Puteri Remaja', 'Keluarga 69' dan 'Jejaka Perasan'. Pada 1983 hingga 1986 pula, Salih mengembangkan bakat dalam nyanyian dengan menyertai Orkestra Tentera Darat (OTD) sebagai penyanyi.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram salih Yaacob


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: