11 March 2019
AKHIR BULAN MAC INI - BELLA DALLY BAKAL AKHIRI ZAMAN JANDA
"Saya tahu ramai yang terkejut apabila saya menerima lamaran Arif selepas lima bulan berkenalan. Ada yang menganggap, saya terlalu cepat melupakan kegagalan lalu. Apa lagi yang mahu ditunggu jika saya yakin Arif mampu memberikan kebahagiaan yang dinanti-nantikan.
"Dia lelaki yang baik dan menerima saya seadanya. Saya tidak pernah serik dengan kegagalan lalu, malah sentiasa positif kerana percaya, setiap yang berlaku ada hikmahnya.
"Alhamdulillah, saya akhirnya temui cinta yang dicari-cari selama ini," demikian kata pelakon Bella Dally yang bakal disatukan akhir bulan ini dan menyifatkan, kegagalan perkahwinan pertama bukan noktah untuk dia terus memburu bahagia
Bella, 27, berkata pertemuan dengan ahli perniagaan yang hanya diperkenalkan sebagai Arif, 34, pada Ogos lalu membuka hatinya untuk kembali mengecapi alam rumah tangga.
Klik untuk gambar besar
Pelakon yang dicungkil bakat menerusi program realiti, 'Pilih Kasih' musim pertama pada 2009 dan Arif bertunang di kediaman keluarganya di Kota Kinabalu, Sabah pada 12 Januari lalu.
Pemilik nama lengkap, Nabilah Ali Dally sebelum ini, mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nazim Othman pada 10 September 2016, tetapi berpisah pada 2 Mei tahun lalu. Katanya lagi, sejurus berpisah, dia bertekad untuk tidak menoleh lagi ke belakang, meskipun ia tidak mudah dilakukan.
"Sebelum ini, saya asyik berduka, tetapi saya berusaha melindunginya. Saya sudah penat bersedih dengan apa yang dilalui dulu. Sampai satu tahap, saya berasakan cukup-cukuplah berduka. Saya berjuang melupakan segala-galanya dan Alhamdulillah, akhirnya menemui kebahagiaan," ujarnya.
Pelakon filem Seru, 'Gila-Gila Remaja 2' dan 'Desolasi' itu berkata, dia kini rancak membuat persiapan perkahwinan, malah sepakat mengadakan majlis akad nikah serta resepsi di ibu negara pada hari yang sama.
Bella berkata, sikap budiman, menghormati wanita, bertanggungjawab dan paling utama, mempunyai hala tuju dalam hidup membuatkan hatinya tidak teragak-agak untuk sehidup semati dengan lelaki itu.
"Apa yang membuatkan saya lebih yakin, Arif sentiasa ada dengan saya. Ke mana saja saya melangkah, Arif pasti akan menyusul untuk menemani. Tetapi, itu bukan bermakna dia kuat cemburu.
"Arif sebaliknya, mahu memastikan saya sentiasa selamat. Saya melalui ujian dan perceraian pada usia masih muda, tetapi Allah temukan saya dengan lelaki yang membahagiakan," tuturnya yang bercuti sebulan untuk membuat persiapan perkahwinan.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Bella Dally
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment