24 March 2019

AL-FATIHAH - BAPA ADIRA & EMMA MENINGGAL, SELAMAT DIKEBUMIKAN


Takziah kami ucapkan kepada penyanyi Adira Suhaimi, 28, dan kakaknya, Emma Suhaimi diatas kehilangan bapa tercintanya, Suhaimi Rajiman, 57, yang menghembuskan nafas terakhir, Khamis lalu (21 Mac 2019) akibat kegagalan beberapa organ dalaman di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.





Perkara itu disahkan oleh Emma yang juga penyampai radio di Sabah dan menyertai Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) bersama-sama Adira menerusi akaun Facebook (FB) miliknya pada hari sama.

Menerusi perkongsian itu, Emma turut memuatnaik gambar kenangan bersama arwah. Perkongsiannya meraih perhatian peminat dan rakan terdekat yang turut mendoakan Allahyarham.

"Selamat jalan Abah.. semoga tenang di sana. Biarpun tidak membesar dengan Abah, rasa sayang sebagai anak selalu ada di hati.. dalam diam tetap sayang.

"Al-Fatihah buat Abah. Minta kawan-kawan sudi sedekahkan Al-Fatihah buat abah saya, 'Suhaimi'," luahnya tanpa menyatakan butiran lanjut mengenai pemergian bapa mereka.

Sementara itu, Adira pula berkongsi gambarnya menziarahi pusara arwah bapanya, semalam, dengan kapsyen berbunyi: "Ku kirimkan doa buat Abah tersayang semoga tenang d alam syurga... #gonnamissyou #Tiadasiapayangbolehgantitempatabah #sayangAbah #sampaibilabila".

Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi ketika dihubungi berkata, jenazah selamat tiba di kampung halaman, Kampung Kinandusan, Kundasang, Sabah, pagi semalam dan selamat dikebumikan jam 11 pagi.

Klik untuk gambar besar


Katanya, arwah bapa dimasukkan ke hospital sejak sebulan lalu akibat kegagalan beberapa organ dalaman dan dia koma.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Selasa iaitu ketika mengadakan persembahan di Johor Bahru. Walaupun bapa tidak sedarkan diri, saya tetap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk melawat.

"Pagi kelmarin saya dapat panggilan bapa sudah tiada. Keluarga ambil keputusan untuk kebumikan jenazah di kampung. Alhamdulillah, saya sempat tiba pagi hari ini dan memberikan penghormatan terakhir," jelasnya.

Menurut penyanyi lagu 'Pujaan Hati' itu, meskipun tidak membesar dan mendapat kasih sayang bapanya sejak dilahirkan, dia tidak pernah menyimpan dendam.

Malah, Adira mengakui keputusan untuk mencari bapanya ketika berusia 19 tahun disebabkan rasa rindu selain ingin mengenali siapa bapa kandungnya.

Katanya, selepas keluar daripada AF8 dia pergi mencari sendiri bapanya dan mendapat maklumat berada di Johor Bahru bersama keluarga baru. Sebaliknya katanya, rasa ingin tahu lebih menebal dan disebabkan itu, dia nekad untuk mencari sendiri.

"Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengannya. Selepas itu, kami saling berhubung. Walaupun dari kecil membesar tanpa bapa, tidak pernah terbit rasa marah atau dendam.



"Malah, bapa pula yang minta maaf kerana meninggalkan saya dan keluarga. Namun, saya beritahu padanya apa yang berlaku usah dikenang," tuturnya.

Menurutnya, arwah bapanya sempat datang melawat dan bermalam di rumahnya di Sungai Buloh sebelum dimasukkan ke hospital.

"Ketika bermalam di rumah, banyak yang kami bualkan. Kiranya, satu malam tidak cukup dan puas rasanya untuk kami meluangkan masa bersama.

"Biarpun sekejap, akhirnya saya dapat juga merasai kasih sayang seorang bapa. Ternyata bapa seorang yang kelakar. Saya masih ingin mendengar celotehnya," ujarnya.

Adira berkata, bapanya juga banyak menasihatinya dan paling penting dia berpesan supaya kalau boleh tidak menjadi sepertinya serta sentiasa bersama keluarga.

Menurutnya, arwah bapanya berkahwin tiga kali dengan perkahwinan bersama ibunya dikurniakan lapan anak manakala perkahwinan kedua, dua anak dan yang terakhir tiga anak.

"Sejujurnya, banyak perkara ingin saya buat untuknya tapi tidak kesampaian. Allah lebih sayangkannya. Alhamdulillah, kesemua adik-beradik ada berkumpul dan memberi penghormatan terakhir pada arwah bapa," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro, Instagram Adira Suhaimi & Facebook Emma Suhaimi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: