21 March 2019

"ALHAMDULILLAH, ANAK SELESAI PEMBEDAHAN" - YAZIT ADAKAN DOA SELAMAT


Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, memaklumkan anaknya, Shahmirnuri atau Boy, 34, yang mengalami bengkak jantung itu telah selamat menjalani pembedahan pada 14 Mac lalu dan dibenarkan keluar dari Hospital Serdang pada 16 Mac untuk berehat di rumah.





"Alhamdulillah, anak dah selesai menjalani pembedahan dan pemantauan doktor mendapati dia dibenarkan untuk pulang ke rumah. Buat masa ini doktor memantau perkembangan Boy selama sebulan dan dia perlu berulang alik ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan.

"Tapi saya berhasrat nak pindahkan kes ini ke Hospital Kuala Lumpur untuk urusan pemeriksaan kerana kedudukan Hospital Serdang agak jauh. Dia perlu ke hospital untuk mengetahui keadaan semasa jantungnya dengan doktor pakar. Dengan keadaan saya sekarang, memang tak larat untuk ke Hospital Serdang," katanya.

Menurutnya, Boy dibawa masuk ke dewan pembedahan pada jam 11 pagi dan selesai sepenuhnya pada jam 4 petang.

"Bateri yang dimasukkan sebesar saiz biskut. Beratnya boleh tahan juga. Kos keseluruhan sekitar RM40,000 termasuk untuk pemeriksaan susulan selepas ini," jelasnya.

Yazit yang sebelum ini meluahkan kerisauannya bagi mendapatkan dana untuk pembedahan Boy, mengakui bersyukur dan berterima kasih terhadap masyarakat yang prihatin dengan nasibnya.

"Peminat banyak membantu dan saya amat terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan mereka. Begitu juga dengan Kelab Kebajikan Sosial Hospital Serdang yang menyumbangkan jumlah agak besar untuk pembedahan ini," tuturnya.

Sebagai tanda kesyukuran, Yazit akan mengadakan kenduri doa selamat selepas solat Isyak malam hari ini di Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur untuk keluarga dan rakan terdekat.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: