15 March 2019

"AMAT KESAL DENGAN PELBAGAI TUDUHAN" - CHE TA BAGI HINGGA 6 PETANG INI


"Saya dengan ini memberi peluang kepadanya sehingga jam 6 petang ini untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Sekiranya gagal, saya terpaksa mengarahkan peguam saya, Wan Sarimah Wan Husain untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berdasarkan beberapa pilihan tindakan undang-undang yang telah kami bincangkan," demikian jelas pelakon dan usahawan Rozita Che Wan.





Dalam satu sidang media yang diadakan hari ini bagi menjelaskan isu pembayaran gaji bekas pemandu peribadinya, Muhammad Riduan Mohamad Mizol, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 46, memberitahu dia memberi masa sehingga jam 6 petang ini kepada Riduan, 21, untuk tampil memohon maaf secara terbuka.

Che Ta turut berkata, selain bersemuka, Riduan juga boleh berbuat demikian menerusi perkongsian status di Facebook atau menghubunginya mahupun peguamnya bagi menyelesaikan perkara itu.

Difahamkan, Riduan sepatutnya hadir pada sidang media itu bagi membuat permohonan maaf, namun lelaki terbabit tidak memberikan sebarang maklum balas.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Che Ta meluahkan rasa kesal dengan tuduhan seolah-olah dia menganiaya bekas pemandunya. Ekoran itu, Che Ta mendakwa menghantar notis tuntutan melalui peguamnya kepada Riduan pada 11 Mac 2019.

"Saya amat kesal dengan pelbagai tuduhan dilemparkan, antaranya saya selaku majikan didakwa dengan sengaja tidak mahu membayar gaji dan berniat menganiaya dirinya.

"Kenyataan tidak berasas ini memalukan saya dan menjatuhkan reputasi saya di mata masyarakat. Bagi membersihkan nama, saya ingin memaklumkan sudah pun menghantar beberapa notis tuntutan kepada Riduan," katanya.



Menerusi tuntutan itu, Che Ta mahu Riduan berhenti mengeluarkan kenyataan mahupun gambar memfitnah dirinya. Selain itu, Riduan diberi tempoh 48 jam daripada tarikh notis tuntutan berkenaan untuk membuat jaminan dan akujanji secara bertulis beliau takkan mengulang penerbitan kenyataan fitnah atau kenyataan serupa.

Rozita berkata, antara sebab dia mengadakan sidang media itu bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang gemar menyalahgunakan media sosial untuk memalukan individu lain.

"Anda harus bertanggungjawab atas setiap tindakan dilakukan dan sedar anda berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang," tuturnya.



Pada 6 Mac lalu, Riduan menerusi akaun Facebooknya telah memuatnaik naik luahan tidak puas hati terhadap pelakon drama 'Kiah Pekasam' itu dan mendakwa dirinya menjadi mangsa aniaya Che Ta apabila gajinya sebanyak RM2,000 tidak dibayar dan menulis perkataan berbentuk provokasi di laman sosialnya.

Che Ta kemudiannya mendakwa dia telah melunaskan bayaran gaji bekas pemandunya pada 7 Mac, namun pada masa sama mendedahkan akan mengambil tindakan undang-undang kerana lelaki itu memfitnahnya selain meminta Riduan membuat permohonan maaf.

Dalam kenyataan balas, Che Ta memuatnaik luahan tidak puas hatinya terhadap Riduan yang perkhidmatannya disifatkan tidak memuaskan.

Sehari selepas itu, Muhammad Riduan pula tampil dengan kenyataan enggan membuat sebarang permohonan maaf seperti dituntut Che Ta kerana mendakwa dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan dan masalah itu bukan bermula daripada pihaknya..






www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo & Hlive


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: