28 March 2019
FASHA SANDHA: "BARU KINI SAYA MERASAI ERTI PERKAHWINAN SEBENAR"
"Ini kali pertama saya merasai kemeriahan persediaan sebelum mendirikan rumah tangga. Saya sangat gembira, malah terharu apabila menerima pelbagai nasihat dan kata sokongan untuk kembali melalui alam bermakna ini. Baru kini saya merasai erti perkahwinan sebenar.
"Saya terharu apabila ibu dan keluarga kedua-dua belah pihak memberikan restu. Dapat saya rasakan betapa diri ini disayangi," tutur pelakon Fasha Sandha yang berharap, bahtera rumah tangga yang bakal dilayari kembali bersama Aidil Aziz dalam masa terdekat akan menjadi perkahwinan terakhirnya.
Mengakui sebak menanti hari bahagianya dan kali ini mendapat restu dua belah pihak iaitu daripada keluarganya sendiri dan Aidil, Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 35, bersyukur dipertemukan dengan insan yang tulus meyakinkan dirinya untuk kembali menjadi isteri.
Ditemui pada majlis berinai dan juga sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-35, malam semalam, Fasha berkata, sebagai insan yang pernah melalui kegagalan, dia berharap akan menemui bahagia yang dicari.
Klik untuk gambar besar
"Saya sangat berharap ini adalah perkahwinan terakhir dan memohon semua mendoakan segala perancangan kami dipermudahkan. Lagipun sebelum ini saya tidak sempat rasa nikmat itu kerana tiada majlis perkahwinan yang tersusun, pertunangan atau malam berinai.
"Saya dapat rasa inilah keluarga sebenar dan benda yang patut ada dalam setiap wanita. Apa yang penting kena ada restu kedua-dua belah pihak," katanya yang memilih tema Melayu Klasik pada acara yang turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga, rakan selebriti serta peminat.
Memilih untuk tidak berkongsi tarikh majlis pernikahan yang bakal berlangsung di kampung halamannya di Perlis, Fasha berkata, segala butiran hanya akan dimaklumkan selepas segala-galanya selesai.
"Tunggulah apabila semua urusan selesai, baru kami berkongsi. Untuk majlis pernikahan nanti, kami hanya mahu melunaskan perkara wajib. Alhamdulillah, banyak pihak yang bersedia menghulurkan tangan untuk meraikan hari bahagia kami.
"Ikut perancangan hujung bulan ini (Mac). Bagaimanapun, kalau sudah benar akan jadi, baru saya akan kongsi kerana kita tidak tahu apa akan jadi tetapi perancangan memang hujung bulan ini.
"Persiapan pun banyak belum siap. Belum lagi 80 peratus kerana saya suka buat semuanya sendiri. Kalau orang lain buat, takut rasa tertinggal," jelasnya.
Sementara itu, Aidil atau nama penuhnya, Mohd Aidil Abdul Aziz ,32, berkata, selesai bernikah, mereka akan ke Pulau Langkawi, Kedah untuk berbulan madu disebabkan kekangan masa. Fasha dan Aidil mengikat tali pertunangan pada 18 November lalu di Ampang, Selangor.
Bintang drama 'Syurga Yang Kedua' itu pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun berpisah pada 20 Januari 2016. Hasil perkahwinan itu, Fasha dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 5.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Kosmo & Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment