16 March 2019

"KAMI SEKELUARGA SUDAH BERSEDIA UNTUK TERIMA HAKIKAT....." - SUAMI WAFA


Dunia seni telah kehilangan baka besar apabila pelakon terkenal era 1990-an, Wafa Abdul Kadir, meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 53 tahun selepas hampir lima tahun bertarung dengan kanser peritoneal.





Menceritakan detik terakhir bersama arwah isteri, Tajul Faizal Tamimudin berkata, dia masih boleh bercakap dengan bintang filem Azizah The Legend itu, awal pagi semalam, sebelum keadaannya menjadi semakin lemah.

"Keadaan kesihatan arwah mula merosot sejak dua bulan lalu dan selepas melihat ada beberapa tanda arwah akan pergi, kami sekeluarga sudah bersedia untuk menerima hakikat bakal kehilangannya. Kali terakhir arwah berkata sesuatu yang boleh saya fahami adalah kira-kira jam 3 pagi semalam.

"Dia nak bangun, mengiring dan betulkan posisi badan sebab berasa tidak selesa. Pagi semalam, arwah semakin tidak bermaya. Melihat keadaannya, saya terus memaklumkan kepada saudara mara dan rakan terdekat supaya datang ke rumah.

"Jam 10 pagi semalam, sudah nampak perubahan dan tanda arwah akan pergi. Apa pun, sepanjang sakit, dia sangat kuat. Saya kagum dengan semangatnya. Semua ada di sisi arwah sejak pagi semalam. Cantiknya ketentuan Allah ketika itu seorang anaknya pergi membeli makanan.

Klik untuk gambar besar


"Sebaik dia sampai di rumah, arwah terus tiada. Dia seolah-olah menunggu semua anaknya di sisi. Arwah ada tinggalkan hajat terakhir, tapi ia terlalu peribadi untuk dikongsi. Cuma, dua tahun lalu kami merancang untuk menunaikan umrah.

"Tetapi, selepas saya buat solat isthikarah, dapat petunjuk tidak baik. Tak sangka rupa-rupanya dia dimasukkan ke hospital selepas itu," tuturnya.

Sepanjang sembilan tahun mendirikan rumah tangga, Tajul menyifatkan Wafa isteri yang penyayang dan senang untuk memahami antara satu sama lain.

"Dia seorang yang penyayang dan sangat kuat. Dia juga senang untuk memahami antara satu sama lain. Kalau bergaduh itu biasalah. Suami isteri mana yang tak bergaduh," ujarnya yang kelihatan sugul sepanjang majlis pengebumian dijalankan.



Tajul berkata, walaupun semua anak tidak tinggal bersama, tetapi mereka kerap datang melawatnya.

"Walaupun anak-anaknya tidak tinggal bersama, tetapi mereka sentiasa datang. Yang tinggal Pulang Pinang akan menziarahnya seminggu sekali dia datang. Anak yang tinggal di Petaling Jaya boleh dikatakan setiap hari datang,” jelasnya.

Ditanya sejauh mana kehidupan arwah melawan kanser dihidapi, Tajul mengakui terlalu berat untuk berkongsi: "Dari segi ketabahan arwah, bagi saya ia terlalu dalam. Berat untuk saya kongsikan".

Jenazah pelakon berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, jam 10.40 pagi tadi. Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.



Antara rakan artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Eja, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Ahmad Idham, Tuan Asmawi dan Betty Benafe.

Wafa kali pertama disahkan mengidap kanser ovari pada 2014. Pelakon itu terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari, omentum dan tiub falopio, setahun selepas itu.

Dia kemudian disahkan mengidap kanser peritoneal pula, tahun lalu, dan menjalani lebih 18 pusingan rawatan kemoterapi sejak 2016.

Arwah meninggalkan empat anak lelaki hasil dua perkahwinan terdahulu. Menerusi perkahwinan pertama, arwah dikurniakan seorang anak, Luqman Yusof, 32.

Perkahwinan kedua pula menganugerahkannya tiga putera iaitu Muhd Hakiim Rauf, 24, Muhd Kamil Rauf, 23, dan Muhd Adib Rauf, 21. Arwah tidak mempunyai cahaya mata menerusi perkahwinan bersama Tajul.







www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: