29 March 2019

LEPAS MENANG - SCHA & AWAL AMBIL TINDAKAN TERHADAP PENGELUAR PULA


Pasangan selebriti, Scha Alyahya dan Awal Ashaari akan mengambil tindakan terhadap pengeluar produk wangian eksklusif Blue dan Maroon pula selepas menang kes tuntutan saman terhadap syarikat D'Haja (M) Sdn Bhd berhubung pengedaran dan penjualan eksklusif minyak wangi.





Scha, 35, memberitahu, notis peringatan sudah dihantar kepada pengeluar minyak wangi mereka, dua bulan lalu, atas dakwaan lalai hingga mengakibatkan kerosakan kepada 3,215 botol produk terbabit. Namun pihak pengeluar yang dinamakan sebagai Eree International Sdn Bhd itu belum memberi sebarang maklum balas.

"Saya mengambil tindakan terhadap pengeluar atas kelalaian mereka yang tidak sedar botol minyak wangi rosak. Sedangkan perkara itu adalah tanggungjawab mereka.

"Surat sudah pun dihantar kepada syarikat terbabit tetapi kami belum mendapat maklum balas. Jika tiada jawapan, kami akan teruskan dengan surat tuntutan pula," kata pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir.

Klik untuk gambar besar


Kelmarin, Awal dan Scha mendapat ganti rugi berjumlah RM345,305 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap syarikat D'Haja (M) Sdn Bhd berhubung pengedaran dan penjualan eksklusif minyak wangi mereka.

Mahkamah Sesyen di sini, dilaporkan memerintahkan syarikat pengedar itu membayar ganti rugi berkenaan selepas ia didapati melanggar perjanjian berhubung pengedaran minyak wangi jenama Bleu dan Maroon milik pasangan terbabit.

Hakim Shamsudin Abdullah memerintahkan D'Haja selaku defendan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman pelanggaran kontrak yang difailkan Awal dan Scha yang bertindak sebagai plaintif.



Hakim membenarkan tuntutan saman berkenaan selepas mendapati D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya kerana gagal memastikan 20,000 botol minyak wangi plaintif berada dalam keadaan baik untuk diniagakan.

Mengenai ganti rugi RM345,305 yang bakal diterima dalam kes pertama, Scha berkata, dia dan Awal tidak mungkin mendapat sepenuhnya jumlah yang diputuskan Mahkamah Sesyen, namun ia cukup menjadi peringatan kepada syarikat yang mahu bekerjasama dengan artis.

"Tindakan ini dibuat bagi mengingatkan syarikat swasta agar tidak mengambil kesempatan ke atas artis yang ingin bekerjasama. Begitu juga dengan artis, isu ini perlu dijadikan iktibar untuk lebih berhati-hati.

"Pastikan kontrak yang diterima perlu diteliti sebaik-baiknya agar tiada sebarang komplikasi pada masa akan datang," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro, Instagram Scha Alyahya & Awal Ashaari


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: