20 March 2019

PERCALONAN AME 2019 - NABIL & NEELOFA TARIK DIRI, ENGGAN DIPERKATAKAN


"Selepas enam tahun bergelar hos dan dicalonkan dalam AME rasanya sudah tiba masanya kami undur diri bagi mengelakkan orang kata ia anugerah syok sendiri dan hanya tuan rumah yang menang.





"Sudah enam tahun kami bersama MeleTOP. Rasanya sudah tiba masa untuk kami memberikan peluang kepada orang lain dan fokus kepada pengacaraan saja. Sekurang-kurangnya tidak akan timbul isu tuan rumah saja yang menang.

"Sejak tahun lalu sudah timbul isu ini dan banyak kritikan yang kurang menyenangkan diterima apabila menang sebelum ini sedangkan fokus saya hanya mengacara," kata pelakon, pengacara dan usahawan, Noor Neelofa yang menarik diri daripada pencalonan Anugerah Meletop (AME 2019).

Neelofa memberitahu keputusan itu dibuat bagi mengelakkan cakap-cakap yang tidak sedap didengar mengenai mereka dan tidak mahu orang mengatakan ianya anugerah syok sendiri.

Klik untuk gambar besar


Bukan hanya Neelofa sahaja, malah pasangannya dalam pengacara program MeleTOP iaitu Nabil Ahmad turut mengumumkan bahawa dirinya juga menarik diri.

Nabil pula berkata, walaupun pada awal bimbang dengan sambutan peminat terhadap keputusan itu, dia yakin mereka boleh menerimanya dengan hati terbuka.

"Kami sudah lama berfikir untuk membuat keputusan ini bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Kami juga mahukan persaingan yang sihat dan bukannya selepas dapat anugerah ramai pula yang kecam tidak puas hati," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad memaklumkan keputusan itu dibuat secara sukarela oleh kedua-duanya dan mereka mahu memberi ruang kepada artis lain.



"AME tahun ini memperlihatkan dua hos MeleTOP iaitu Neelofa dan Nabil Ahmad mengundurkan diri daripada semua kategori dipertandingkan pada tahun ini. Keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada artis lain dan ia dibuat secara sukarela oleh kedua-dua mereka," jelasnya.

Dalam pada itu, meskipun kedua mereka menarik diri daripada dicalonkan, Neelofa dan Nabil masih lagi kekal sebagai hos AME2019 bersama Jihan Muse.

Tampil dengan tema 'Yang Legit, Yang Legend', AME2019 bakal berlangsung pada 21 April depan bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil pukul 9 malam.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dan undian boleh dilakukan menerusi laman web AME2019 dan portal Era serta khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 19 Mac ini.








www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: