03 March 2019
"SETAKAT INI, ALHAMDULILLAH SETIAP HARI RASA SEMAKIN SIHAT" - EBBY YUS
"Alhamdulillah, ada perubahan ke arah lebih sihat. Cuma, sejauh mana tahap sihat itu saya tak boleh nak jelaskan kerana harus menunggu keputusan daripada doktor. Temu janji dengan doktor bagi pemeriksaan dan rawatan dijadualkan penghujung Mac nanti.
"Jadi, selepas bertemu doktor barulah saya tahu sejauh mana kondisi kesihatan sebenar terutama tahap pemulihannya. Setakat ini, Alhamdulillah setiap hari rasa semakin sihat.
"Bolehlah juga saya berjalan walaupun tidak begitu jauh," kata pelakon dan pelawak Ebby Yus, 55, yang mengakui tahap kesihatannya menunjukkan perubahan selepas selamat pergi dan balik mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah bulan lalu.
Sebaik berita kesihatannya mendapat liputan media, nama Ebby kembali menjadi perhatian. Ternyata, figura seni berbakat besar ini begitu disenangi ramai dan banyak doa dititipkan peminat agar kesihatannya pulih.
Menyentuh mengenai selera makan, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah.
Klik untuk gambar besar
"Soal makan, saya mengikut apa yang disarankan doktor. Syukur, selera makan nampaknya tidak terganggu. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan saya.
"Hanya Allah SWT sahaja dapat membalas semuanya. Saya sangat bersyukur dengan keprihatin ramai terhadap tahap kesihatan saya," tuturnya.
Masih hidup membujang pada usia sudah mencecah setengah abad, Ebby berkata, dia reda dengan takdir hidupnya yang masih solo.
"Mungkin inilah takdir saya yang sudah diatur Allah SWT yang mana pada usia begini masih lagi membujang. Saya tidak pernah kesal dengan takdir ini kerana sentiasa yakin bahawa ada hikmah yang sudah dijanjikan Yang Maha Esa.
"Bagaimanapun, sebagai manusia biasa selalunya diri terleka. Apapun, yang pasti keluarga memahami dan tidak membiarkan saya sendiri," ujarnya.
Menurut pelakon sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut (JKKK) siaran TV3 itu, dia bersyukur adik-beradiknya sentiasa di sisi.
"Meskipun, adik-beradik yang lain sudah mempunyai keluarga sendiri tetapi mereka tidak pernah lupa dan ketepikan saya. Jika tidak dapat datang ziarah di rumah, mereka selalu menghubungi saya untuk bertanya khabar," jelasnya.
Terdahulu, Ebby dilaporkan menghidap masalah buah pinggang dan jantung yang serius hingga menyukarkan dia bekerja.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment