02 March 2019

TAHNIAH - AMEER FORTEEN KINI SAH SUAMI SITI NURNAJA'A


Tanggal 1 Mac 2019 iaitu pada hari Jumaat yang penuh keberkatan, pada jam 4.08 petang, anggota kumpulan Forteen, Ameer, 29, telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Siti Nurnaja'a Shamsul Kamar, 24, dengan sekali lafaz.





Pasangan terbabit dinikahkan abang pengantin perempuan, Muhd Haqem, di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati, dengan disaksikan anggota keluarga dan saudara terdekat kedua-dua pihak.

Pada majlis itu, Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 29, menyerahkan wang hantaran berjumlah RM10,000, mas kahwin RM300 dan tujuh dulang hantaran kepada isteri, berbalas sembilan.

"Debaran nak naik pelamin sangat berbeza. Rasa berdebar ketika hendak membuat persembahan nyanyian pun tidak sehebat ini. Syukur semuanya selamat. Kini, bermulalah fasa baharu kami berdua sebagai suami isteri.

"Insya-Allah, kami akan sama-sama menjaga kerukunan rumah tangga yang baru dibina ini. Kalau tiada aral melintang, kami akan berbulan madu di Bali, Indonesia, kemungkinan besar selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Klik untuk gambar besar


Untuk makluman, Ameer bertunang dengan Siti Nurnaja'a, 24, pada 13 Oktober tahun lalu di Setapak, selepas lebih setahun berkenalan menerusi media sosial iaitu pada 2017.

Ameer berkata, majlis pernikahannya itu hanya dihadiri rakan terdekat dan keluarga kedua-dua belah pihak. Dalam masa sama, Ameer memberitahu, perkahwinan itu membuatkannya lebih bersedia untuk menjadi suami yang bertanggungjawab dan komited.

"Kami berkenalan di Instagram dan siapa sangka, hari ini (1 Mac 2019), dia menjadi isteri saya yang sah. Kami memang hanya menjemput keluarga dan beberapa rakan terdekat untuk majlis akad nikah hari ini (1 Mac 2019).

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan walaupun gugup, saya dapat melafazkan akad dengan sempurna. Tentunya, selepas bergelar suami, tanggungjawab saya jadi lebih banyak bukan saja kepada isteri, tetapi juga dari segi kewangan dan sebagainya," tuturnya.



Diusik dengan pertanyaan mengenai cahaya mata, kata Ameer, kalau rezeki menyebelahi diri, mereka memang teringin memiliki anak yang ramai.

"Kalau dapat anak lelaki nanti, bolehlah juga saya fikirkan mengenai penubuhan kumpulan penyanyi bagi meneruskan legasi seni," ujarnya.

Difahamkan, majlis resepsi Ameer dan pasangannya itu akan berlangsung di Forest Valley Hall, Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Dalam perkembangan lain, kata Ameer, dia kini mula sibuk mempromosikan single terbaru Forteen berjudul 'Diam Saja'. Lagu berkenaan adalah karya pertama dirakam mereka tanpa kehadiran Izzue Islam yang meninggalkan kumpulan itu pada November tahun lalu.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro, Instagram Ameer Foteen & Siti Nurnaja'a


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: