09 April 2019

ADIK-BERADIK DALAM PEMULIHAN - LINDA RAFAR SEMAKIN KUAT SELEPAS 3 BULAN


"Syukur, selepas tiga bulan, saya semakin kuat dan mampu menjalani kehidupan harian seperti biasa. Saya pernah melalui dua pengalaman kehilangan orang tersayang iaitu pemergian anak dan juga ibu. Kedua-dua pengalaman ini membuatkan saya lebih dekat pada Allah. Saya sedar, apa yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman sementara.





"Bila-bila masa saja Allah akan ambil semula insan yang kita sayangi, harta mahupun kelebihan yang ada pada diri," tutur penyanyi dan pelakon Linda Rafar yang akur dan reda dengan pemergian ibunya pada Januari lalu meskipun belum puas bermanja dan sedar perlu meneruskan hidup.

Namun begitu, kematian dua insan yang dicintainya mengajar Linda menerima Qada dan Qadar dengan hati terbuka. Dia kini lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.

Walaupun pahit menerima kenyataan ibunya sudah tiada. Ada perasaan 'puas' yang Linda rasakan. Dia puas kerana dapat menjaga ibunya sepanjang arwah uzur hinggalah hembusan nasfasnya yang terakhir.

Perasaan itu sama seperti ketika dia menjaga dan menguruskan anak­nya, arwah Rezaimin Keifli atau Memen. Kehilangan itu pedih, namun tidak ada penyesalan kerana semuanya sudah dilaksanakan dengan baik.

Klik untuk gambar besar


"Seperti saya berada di sisi arwah Memen, menjaga dan menguruskannya kira-kira lima tahun lalu, begitu jugalah saya setia berada di sisi ibu sehingga nafas terakhir.

"Saya puas dapat menjaga mereka sendiri sehing­galah meninggal dunia. Walaupun sedih tetapi pada masa sama puas kerana dapat berbakti sebagai ibu untuk arwah anak dan menjalankan tanggungjawab anak terhadap arwah ibu,” katanya.

Kata Linda, sehingga kini adik-beradiknya masih berada dalam tempoh pemulihan. Mereka sedang mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan tanpa ibu di sisi. Ada juga dalam kalangan ahli keluarga yang mendapatkan khidmat perubatan Islam untuk memulihkan semangat.

Memahami perasaan itu, dia hanya mampu memberikan nasihat dan berkongsi kata-kata semangat, yang selebihnya adalah daripada diri mereka sendiri untuk bangkit semula.



"Saya faham perasaan kehilangan kerana sebelum ini pernah melalui ketika pemergian anak sendiri. Namun, saya hanya mampu memberikan nasihat dan kata semangat kepada mereka.

"Mungkin akan ambil masa sedikit tetapi saya yakin, mereka pasti mampu mencari kekuatan menjalani kehidupan dan menerima hakikat ibu sudah tiada," ujarnya.

Linda menjadi artis pertama yang memfailkan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan hingga memburukkan diri dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam pada Disember lalu.

Impak daripada tindakan itu menyebabkan warganet semakin berhati-hati ketika meninggalkan komen di akaun media sosial kerana bimbang menerima nasib yang sama.

"Saya bersyukur kerana membuat pilihan tepat mem­failkan saman berkenaan dan berjaya menyuntik kesedaran dalam kalangan selebriti serta warganet khususnya supaya lebih berhati-hati. Sudah tentu perkara ini menjadi satu perkembangan yang positif," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Linda Rafar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: