11 April 2019

DILANTIK PENGERUSI FINAS: "SAYA AKAN BERI USAHA YANG TERBAIK" - HANS ISAAC


Pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac semalam telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April. Pengumuman tersebut diumum oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).





Dalam pada itu, Hans turut berterima kasih kepada KKMM diatas kepercayaan yang diberikan kepada beliau terutama menterinya, Gobind Singh Deo. Menurut Hans lagi, beliau tidak mahu bercakap lebih tetapi akan berusaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Beliau berkata, ini adalah masa untuk beliau bersama barisan kepimpinan baru FINAS kurang bercakap tapi melaksanakan semua perancangan pembangunan.

"Saya sudah ada manifesto untuk membangunkan FINAS kerana selama 25 tahun banyak dengar orang bercakap saja tapi tiada hasil.

Klik untuk gambar besar


"Saya akan berbincang dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri) dan ahli lembaga pengarah lain mengenai merealisasikan manifesto yang sudah dibentangkan sebelum ini. Saya tak nak cakap lebih, biar hasil yang bercakap," katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan media hari ini, Gobind berharap supaya ahli lembaga FINAS memberikan kerjasama yang penuh kepada Hans dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.

"Kementerian berharap Pengerusi yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha FINAS bagi membangunkan industri ini," katanya.

KKMM dalam kenyataannya berkata, Hans mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman dan terkenal sebagai seorang pelakon, penerbit dan pengarah filem.



Beliau juga pernah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan dan Pengarah Urusan, Social 360 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terbabit dalam bidang keselamatan dan insurans.

Hans juga pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat FINAS dan Ahli Lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.

Pelantikan Hans berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 itu menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi FINAS selama lebih empat bulan yang lalu.

KKMM turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Samsuni Mohd Nor untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan itu.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Hans Isaac


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: