16 April 2019
FIZZ FAIRUZ: "SAYA MAHU TAHU, APA MASALAH DIA DENGAN SAYA"
"Identiti pemilik akaun IG itu sudah dikenali pasti 70 peratus. Namun, semuanya belum dapat dikongsi kepada umum atas nasihat peguam. Apa yang pasti, individu terbabit adalah dalam kalangan penggiat industri seni juga.
"Saya mahu bersemuka dengannya dan tidak menerima permohonan maaf yang dibuat di IG. Bukan itu yang saya mahu, sebaliknya, saya ingin mengenal pasti punca saya difitnah.
"Saya mahu tahu, apa masalah dia dengan saya?," demikian kata pelakon Datuk Fizz Fairuz yang mendakwa sudah mengenal pasti 70 peratus daripada identiti pemilik akaun Instagram (IG) yang mengaitkan dirinya dengan individu bergelar Datuk Seri yang ditangkap berkhalwat di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.
Enggan menerima permohonan maaf yang dibuat individu terbabit secara terbuka di media sosial, Fizz mahu bersemuka atau membuat laporan polis jika pemilik akaun IG terbabit gagal berbuat demikian. Pada majlis itu, Fizz ditemani isterinya, Datin Almy Nadia dan tiga anak perempuan mereka.
Klik untuk gambar besar
Pada 7 April lalu, Fizz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang mengaitkannya dengan isu khalwat di pulau peranginan itu, baru-baru ini.
Fizz menambah, dia sedia berjumpa dengan individu terbabit secara tertutup jika dia tidak mahu datang ke majlis sidang media dirancang.
"Jika tidak dapat hadir ke sidang media, saya terbuka berjumpa dengannya berdua sahaja. Ini kerana saya yakin dia tidak mahu identiti dirinya diketahui umum," ujarnya.
Fizz menambah, tindakan tegas diambil ke atas individu terbabit agar menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk tidak melemparkan tuduhan yang boleh menimbulkan fitnah dan mencalar maruah orang lain.
Fizz bersama isterinya, Almy dan seorang anak mereka. Fizz enggan menerima permohonan maaf daripada individu yang didakwa memfitnah dirinya. Sebaliknya, Fizz sedia berjumpa secara tertutup jika individu terbabit tidak mahu datang ke sidang media dirancang. - NSTP Nurul Syazana Rose Razman
"Saya ada isteri, tiga anak dan ibu... Ini mencalar maruah saya. Saya juga memegang amanah di sebalik penganugerahan darjah kebesaran ini (pingat yang membawa gelaran Datuk). Selama ini, saya diamkan sahaja kalau dihimpit gosip.
"Namun, kali ini perbuatan mereka sangat melampau, seolah-olah negara kita tiada undang-undang. Mereka sesuka hati boleh memfitnah orang. Saya sebenarnya bukan anak seni pertama yang berdepan fitnah akaun IG terbabit," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Fizz Fairuz
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment