25 April 2019
KESEMPATAN BEREHAT SEBULAN - ZAMANI MANFAATKAN DAPATKAN RAWATAN
Vokalis kumpulan Slam, Zamani memanfaatkan kesempatan berehat selama sebulan sempena Ramadan ini untuk mendapatkan rawatan masalah tulang belakang yang ditanggungnya selama ini. Zamani, 48, berkata, dia perlu segera mendapatkan rawatan kerana kebelakangan ini sering mengalami kesakitan.
"Apabila semakin sibuk ke sana sini, sakit itu semakin terasa. Ikutkan saya boleh bertahan dan apabila cuti, ia tempoh terbaik untuk saya dapatkan rawatan," jelasnya yang akan menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Bekas peserta Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu berkata, dia hanya mengambil pil penahan sakit bagi mengatasi kesakitan itu.
"Saya terlalu sibuk dengan persembahan nyanyian. Apabila dapat tawaran, takkan saya tak pergi. Itulah sebabnya saya ambil keputusan untuk buat rawatan pada Ramadan. Bagaimanapun, pil tahan sakit hanya diambil apabila perlu saja," ujarnya.
Klik untuk gambar besar
Menurutnya, dia tidak memilih menjalani pembedahan sebaliknya akan membuat rawatan yang sesuai. “Sebelum ini saya buat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan tulang saya berbentuk S.
"Sakit ini datang sesekali terutama apabila saya berdiri terlalu lama atau menggunakan banyak tenaga. Kadang-kadang kurang minum air juga punca sakit ini datang," tuturnya.
Ditanya sama ada jadual yang terlalu padat membuatkan dia penat, Zamani berkata, dia menghargai setiap tawaran yang datang.
"Allah sudah bagi rezeki. Saya perlu lakukan dan jangan mengeluh penat pula. Namun saya juga perlu ambil kira dari sudut kesihatan dan buat ikut kemampuan diri," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran single, muzik video dan video karaoke single terbarunya, Aduh di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Zamani
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment