25 April 2019
LAN PET PET KATA "TERIMA KASIH TRANSFER PAHALA" - PAK YA BERSARA JUMAAT INI
"Esok (Khamis) merupakan hari terakhir saya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park, Desa Jati di Nilai, Negeri Sembilan. Keputusan untuk berhenti sudah lama difikirkan, namun saya makin nekad selepas kes ini berlaku.
"Sudah tiba masanya untuk berehat sahaja di rumah," kata Yahya Manaf, 69, yang mendedahkan dia bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai pengawal keselamatan bermula Jumaat ini.
Warga emas yang menjadi mangsa pukul pelawak Lan Pet Pet dalam kejadian 6 April lalu itu berkata, dia mahu berehat selepas melalui pengalaman paling buruk sepanjang lima tahu bekerja sebagai 'Pak Guard'.
Yahya atau lebih mesra disapa Pak Ya itu ditemui di Pondok Pengawal Acacia Park, Nilai, pada Rabu. Sebelum ini, menerusi laporan sebuah portal berita, Pak Ya mengadakan pertemuan dengan pelawak berusia 50 tahun itu pada malam Selasa.
Mengulas mengenai perkara itu, Pak Ya memberitahu, dia menerima permohonan maaf darpada Lan dengan hati terbuka dan tidak menyimpan dendam.
"Buat masa ini saya diminta untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai perbincangan kami semalam, namun saya sudah tidak menyimpan dendam terhadap Lan. Kami sudah sama-sama bermaafan secara terbuka pada pertemuan semalam.
Klik untuk gambar besar
"Saya juga sudah berbincang dengan keluarga mengenai pembatalan saman terhadap Lan dan seperti dijanjikan, kutipan dana untuk membantu kos guaman berjumlah lebih RM4,000 yang berjaya dikumpul persatuan penduduk juga akan diserahkan kepada surau berdekatan," tambahnya.
Sementara itu, Lan membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial Instagramnya selepas hampir tiga minggu berdiam diri.
Bekas ahli kumpulan Senario itu memuatnaik foto dengan ayat "Nak kutuk? Kutuklah. Biar sampai puas, terima kasih pindahkan pahala awak kat saya. Terima kasih Allahuakbar... Alhamdulillah berkat selamat... Maafkan saya," tulisnya pada kapsyen".
Beberapa minggu lalu, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelawak itu mengasari pengawal keselamatan tersebut di sebuah pondok pengawal.
Lan dikatakan menumbuk di bahagian muka sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa selepas ditegur tidak membuat catitan dalam buku pelawat sebelum memasuki kawasan tersebut.
Akibat kejadian tersebut, pihak poilis telah menahan pelawak berkenaan ada 7 April tetapi dibebaskan dengan jaminan polis. Setelah seminggu insiden itu berlaku, Lan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin lalu dan didenda sebanyak RM2,000.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment