12 April 2019

MAHU ELAK KONFLIK - HANS ISAAC 'BEREHAT' DUA TAHUN DARIPADA KERJA SENI


"Pada awalnya, saya hanya meminta tempoh setahun untuk memegang jawatan ini. Tetapi, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo, meminta saya berbuat demikian bagi tempoh dua tahun. Berikutan itu, saya perlu melepaskan tanggungjawab dan komitmen yang dipegang selama ini, termasuk saham serta jawatan dalam Tall Order milik saya bersama beberapa pihak lain.





"Saya mahu bersikap telus dan berkecuali. Saya juga tiada kepentingan dengan mana-mana pihak. Tak adil jika saya masih aktif dalam seni dan pada masa sama memikul tanggungjawab berkenaan. Saya tidak mahu ada agenda yang bercampur baur. Sepanjang tempoh dua tahun ni saya tidak akan menerima sebarang tawarn berlakon atau terlibat dalam mana-mana produksi filem dan drama.

"Sekarang ni juga saya tidak ada kepentingan dengan mana-mana pihak," demikian kata Datuk Hans Isaac, 47, yang memberitahu beliau tidak akan terbabit dengan sebarang aktiviti seni, termasuk penerbitan, sepanjang tempoh dua tahun memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Pelakon dan penerbit terkenal itu berkata, dia sebaliknya mahu memberikan tumpuan penuh kepada usaha menunaikan amanat yang diletakkan ke bahunya, berkuat kuasa 8 April lalu.

Malah, bintang 'Lemak Kampung Santan' itu juga berkata, dia melepaskan jawatan penting dalam syarikat penerbitan Tall Order bagi mengelakkan sebarang konflik sepanjang bergelar Pengerusi perbadanan terbabit.

Klik untuk gambar besar


Pengarah, penulis dan pelakon filem 'Buli' itu turut mengakui mengambil masa bagi membulatkan keputusan menerima jawatan terbabit.

"Saya menerima tawaran untuk memegang jawatan berkenaan sejak empat bulan lalu dan saya akui takut bercampur teruja apabila dihulurkan peluang itu. Lagipun, banyak perkara ingin saya lakukan dalam kehidupan sendiri. Namun, saya akur tidak boleh mementingkan diri sendiri dalam hal ini.

"Melihat sebahagian artis lama yang hidup melarat juga menjadi titik tolak untuk saya menerima pelantikan ini. Saya rasa perlu dan terpanggil melakukan perubahan, terutama untuk lebih 20,000 penggiat seni tanah air," tuturnya.

Mengenai 15 manisfesto yang direncanakan, Hans memaklumkan perkara itu belum dapat didedahkannya buat waktu ini: "Ia hanya akan diumumkan dalam sidang media lain, tidak lama lagi".



Sementara itu, FINAS dijangka memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lama lagi bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas.

Hans, berkata berkata skim terbabit bukan saja bakal menjamin masa depan pelakon, tetapi juga kru produksi termasuklah juru solek, 'runner', pemandu serta penjaga busana yang bekerja siang malam.

"FINAS sudah ada kertas kerjanya...perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan berkenaan. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengguna pakai sistem itu dalam industri seni.

"FINAS juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen televisyen dan syarikat produksi yang karyawan bebas ini bekerja. Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan," jelasnya.



Hans Isaac berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai industri profesional dan dengan adanya kedua-dua skim itu nanti, pengiktirafan berkaitan akan dapat dizahirkan.

Katanya, pengenalan skim itu adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangka oleh beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang baru sebulan memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, "Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan".

Dalam pada itu, Hans memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakan-rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada FINAS untuk produksi filem dan televisyen.



"Sekiranya sesuatu permohonan itu membabitkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah yang membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada FINAS berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan," ujarnya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu-ragu atau sangsi dengan pelantikan beliau dan Ahmad Idham, supaya memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

"Bagaimanapun, saya menerima maklum balas yang positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi," katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Isnin lalu bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, BERNAMA, mStar & Instagram Hans Isaac


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: