24 April 2019

"SAYA MAAFKAN LAN... INI BUKAN KERANA WANG TETAPI....." - PAK YA


Nampaknya pergeseran antara pelawak, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet dengan pengawal keselamatan, Yahya Manap, akhirnya telahpun berakhir apabila mereka bersemuka di sebuah premis, malam tadi.





Dalam pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak, permohonan maaf Mazlan, 50, disambut Yahya, 68, dengan hati terbuka.

"Saya maafkan Lan (Mazlan)... Ini bukan kerana wang tetapi keinsafan dirinya membuka hati saya memaafkannya. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun, Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi.

"Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia. Saya bukannya pendendam... Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka," katanya.

Yahya atau mesra disapa Pak Ya memberitahu, dia kasihan kepada Mazlan terutama dalam aspek karier dan reputasinya selepas insiden hitam itu. Yahya menghormati tindakan Lan yang sanggup bersemuka untuk memohon maaf dengan hati yang ikhlas.

"Kerjaya dan reputasi Lan tercalar dengan insiden itu. Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Saya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.Saya tidak akan meneruskan tindakan saman itu," ujarnya.

Sementara itu, Lan yang juga anggota kumpulan Senario, bersyukur Pak Ya dan keluarga, memaafkan dirinya dan melayan dengan baik pada pertemuan itu.

Klik untuk gambar besar


"Berminggu-minggu fikiran saya runsing dan tidak senang hati selagi tidak bersemuka dengan Pak Ya dan keluarga. Saya mengambil sedikit masa untuk mengatur pertemuan ini. Saya perlu mencari nombor telefon dan memastikan Pak Ya bersetuju untuk bersemuka.

"Saya berterima kasih pada Pak Ya dan keluarga yang menerima pelawaan untuk bertemu. Pada awalnya, saya tahu Pak Ya marah. Tetapi apabila melihat saya dengan rendah diri, zahir dan batin memohon maaf, dia akhirnya tersenyum,” tuturnya.

Lan berkata, dia akan ingat pesanan Pak Ya supaya tidak mengulangi kesilapan. Lan turut berjanji akan menjaga keluarga Yahya yang disapanya Pak Ya seperti famili sendiri.

"Walaupun pada pertemuan ini, air mata tidak menitis, tetapi hati saya menangis tiada siapa tahu. Saya sedih dan insaf. Saya berjanji akan menjaga Pak Ya dan keluarga seperti famili sendiri. Saya merancang membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah di Makkah, insya-Allah," jelasnya.

Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, di sini.

Lan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof. Lan mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu membayar denda diputuskan mahkamah.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: