03 April 2019

"SAYA TAK SANGGUP BERKONGSI KASIH DENGAN WANITA LAIN" - MIA AHMAD


Tidak rela untuk hidup bermadu biarpun tiada larangan daripada sudut agama untuk membenarkan seorang suami berkahwin lebih daripada satu, pelakon Mia Ahmad berkata, meskipun kehidupan bermadu adalah normal, dia tidak mempunyai kekuatan untuk menjalani kehidupan begitu.





Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi, 31, berkata, dia menghormati keputusan para isteri yang sudi berkongsi kasih suami dengan memilih untuk hidup bermadu, namun tidak semua wanita bersedia berdepan kehidupan sedemikian.

Menurut Mia, sebagai seorang isteri dan ibu, dia akan terus berjuang mempertahankan rumah tangganya, biarpun sedar kesemua yang ada di dunia ini pinjaman semata-mata.

"Apa juga yang berlaku, saya tak sanggup berkongsi kasih dengan wanita lain. Saya hormat wanita yang mempunyai kekuatan untuk melalui kehidupan bermadu, tetapi saya tidak mampu menjadi seperti mereka," katanya.

Klik untuk gambar besar


"Saya sedar dunia ini tidak akan kekal, tetapi saya mahu mempertahankannya hingga akhir nyawa," katanya ketika ditemui media di pelancaran drama Nur2 semalam.

Mengenai status hubungan mereka ketika ini, pelakon 'Hati Perempuan' itu memberitahu, dia dan Izham dalam fasa membina kembali kehidupan mereka.

"Saya dan suami sedang memperbaiki kembali hubungan yang hampir musnah dulu. Kami dalam proses mengenali diri dan anak menjadi pengikat kasih sayang kami.

"Apabila memilih untuk kembali ke pangkuan suami, saya kini sedaya-upaya harus melupakan semua kisah yang melukakan demi rumah tangga kami," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran drama Nur 2 di Kuala Lumpur hari ini," jelasnya.



Ditanya apakah masih tersimpan keraguan terhadap kesetiaan suaminya, Mia berkata, dia tidak mahu memikirkan perkara yang bukan menjadi miliknya kekal.

"Semua yang saya ada ini hanya pinjaman, termasuk suami. Kalau kita terlalu letak kepercayaan dalam hubungan sesama manusia, kita akan terluka," tuturnya berkias.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemelut rumah tangganya bersama suami yang juga penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan.



Penghujung tahun lalu, tular dakwaan Mohd. Izham bermain kayu tiga dengan wanita lain ketika Mia dalam proses berpantang melahirkan anak sulung mereka, Sayf Issa yang kini berusia enam bulan.

Tidak mahu memberi komen sejauh mana kepercayaannya kini dengan suami, Mia berkata, dia memilih untuk memaafkan kekhilafan suaminya dan membina kehidupan yang baharu. Tambah, dengan kemelut rumah tangga dilalui itu, dia akhirnya banyak bermuhasabah diri untuk mendapat kekuatan.

"Tak dinafikan, selain sokongan daripada keluarga saya, kehadiran anak kami, Sayf Issa yang baru berusia enam bulan banyak membantu menjernihkan hubungan saya dan suami.

"Sekarang, kami banyak masa bersama membesarkan Sayf. Saya bersyukur masih dapat mempertahankan rumah tangga yang dibina," ujarnya yang akan berusaha sebaik mungkin sekali gus cuba melupakan kelukaan di hati.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Instagram Mia Ahmad & Izham Tarmizi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: