28 April 2019

SCHA: "KALAU BOLEH MAHU 3 ANAK" - AWAL TEGAS CUKAI LHDN TAK BEBAN


Berhasrat mahu menimang cahaya mata memandangkan anaknya, Lara Alana kini hampir mencecah usia lima tahun, pelakon dan pengacara Scha Alyahya memberitahu, jika berpeluang dan dikurniakan rezeki, dia mahu memiliki tiga orang cahaya mata.





"Sebenarnya, saya dan Awal (suami) sedang merancang untuk menimang cahaya mata lagi. Kalau boleh saya mahu memiliki tiga orang anak, kami sedang usahakan tapi masih belum ada rezeki buat masa ini.

"Insya-Allah, saya juga akan membuat pemeriksaan kesihatan berkaitan kesuburan untuk memudahkan saya untuk hamil lagi selepas ini," katanya.

Scha berkata demikian ketika ditemui bersama suami dan anak mereka pada program Sinar Lebaran Jakel bagi meraikan 50 orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan bertempat di Jakel Mall, Kuala Lumpur semalam.

Di majlis tersebut, Scha dan Awal turut terlibat dalam sesi penyampaian sumbangan Ramadan kepada orang kurang upaya yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, suami Scha, pelakon dan pengacara Awal Ashaari mengakui anak mereka, Lara Alana, 4, turut dikenakan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak berusia setahun lagi.

Klik untuk gambar besar


Awal, 38, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari bagaimanapun menegaskan, perkara itu tidak membebankan dirinya dan isterinya kerana ia tanggungjawab yang perlu dijalankan sebagai rakyat Malaysia.

"Lara mula bayar cukai sejak umur setahun. Kami pergi ke LHDN dan dimaklumkan dia dikenakan cukai sebab sudah ada pendapatan sendiri. Jadi, kena buka fail. Ramai pengikut di media sosial bertanya dan mempertikaikan kenapa Lara dikenakan cukai sebab dia masih kecil.

"Saya berasakan ia bukan beban kerana pendapatan yang diperoleh itu hasil daripada pekerjaan dilakukan, jadi kena bayar sedikit sebagai cukai. Sama juga macam saya dan isteri. Tidak fikir pun soal mereka nak kenakan kita. Ini adalah tanggungjawab untuk bayar," ujarnya.

Awal berkata, semua artis perlu ada kesedaran untuk membayar cukai. Malah, Awal mengakui pernah tidak menjalankan tanggungjawab itu kerana tidak pernah didedahkan mengenainya.

"Bukan BBNU saja tetapi artis senior juga saya nak nasihatkan kena tahu dan ada kesedaran dalam diri yang mana cukai pendapatan memang kena bayar.



"Macam saya dulu, agak lama juga tidak didedahkan perkara ini. Malah tidak tahu pun kena bayar. Dalam masa sama, ketika itu belum ada media sosial dan sebagainya. Mereka pun tidak cari dan kejar ketika itu. Jadi, dapat duit kita gunakan buat benda lain.

"Namun, menjelang 2006 dan 2007 baru mereka mula kejar serta cari balik segala pendapatan kita sejak mula menjadi artis. Mahu atau tidak kena bayar juga. Kalau tak mampu, kena bayar secara ansuran," tuturnya.

Sementara itu, pengacara 'Hero Remaja' dan 'Dewi Remaja' itu berpendapat golongan selebriti perlu ada persefahaman dengan LHDN.

"Isu sekarang adalah bayar atau tak saja. Cuma, kita kena ada persefahaman dengan LHDN. Kadang kala mereka tidak tahu kehidupan sebenar selebriti. Jadi, kita kena pergi jumpa, terangkan dan tunjuk bukti pembelian pada mereka. Asal saja dokumentasi kita lengkap dan kita bayar tepat waktu mereka okay.

"Apabila kita tengok artis kena bayar cukai hingga ratusan ribu ringgit, bagi saya itu bukan beban tapi hutang terkumpul sejak bertahun lamanya dan duit yang sudah dibelanjakan habis," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, Harian Metro, Instagram Scha Alyahya & Awal Ashaari


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: