28 April 2019

TERHARU PEMINAT & RAKAN-RAKAN TAJA RESEPSI - MAC RUHAYU DIRAI BAGAI PUTERI


Kelmarin, penyanyi Mac Ruhayu telah diraikan dalam satu majlis resepsi yang diadakan secara tertutup di hotel De Angsana, Johor Bahru, dan beliau rasa terharu dengan usaha peminat dan rakan-rakan yang menaja majlis tersebut.





"Saya terkejut apabila ada beberapa peminat menawarkan diri mahu menaja majlis resepsi saya dan suami di hotel kerana kalau nak diikutkan, saya rasa cukuplah dengan majlis akad nikah di rumah saya pada Mac lalu.

"Daripada bilik penginapan, pelamin, kek, solekan, busana, hidangan dan sistem bunyi semuanya ditaja peminat sekitar Johor Bahru. Kalau dikira-kira nilai tajaan, mungkin mencecah hampir RM100,000. Saya dilayan seperti puteri pada malam itu," ujarnya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Ditakdir Kita' Bersama itu turut berterima kasih kepada Mabless Lagend Sdn Bhd yang menjadi tonggak utama mengumpul semua penaja pada malam itu.

Selain itu, Mac ketika dihubungi mengakui terharu kerana beberapa rakan artis era 90-an hadir memeriahkan acara. Antara yang hadir ialah Erin dan Baby kumpulan Res2, Mazleela, Amy kumpulan Grand serta Melati (Pak Balik Pak).

Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak yang baru tampil dengan single Moga Kau Mengerti itu berkata, Johor Bahru sudah jadi rumah kedua sejak kembali aktif menyanyi bersama beberapa rakan artis era 90-an.

"Segalanya bermula melalui acara 'reunion' Jejak Santai Artis 90-an yang berjaya mengumpulkan hampir 20 artis pada 27 April tahun lalu.

"Kemudian diikuti pula acara pelancaran album 5 Suara sekitar November dan kini resepsi ini berlangsung di lokasi sama. Pendek kata Johor Bahru, terutama hotel ini seolah-olah sudah menjadi rumah kedua saya," katanya berseloroh.

Pada majlis resepsi itu, hampir 100 tetamu dihiburkan dengan persembahan 'showcase' daripada Mazleela, Melati dan Amy Grand, selain persembahan tarian 'lambak' dan 'poco-poco'.

Pada kesempatan itu, Mac dan suami turut menghiburkan tetamu dengan lagu 'Angin Malam'. Untuk makluman, Mac Ruhayu bergelar isteri kepada Sulaiman Mohamed pada 27 Mac lalu selepas 13 tahun menjadi ibu tunggal membesarkan empat anak lelaki yang berusia antara 15 hingga 24 tahun.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: