15 April 2019

"SOAL JODOH, RAHSIA ALLAH... SAYA BELUM BERTEMU JODOH - AZHAN RANI REDA


Pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri 'Nur 2', Azhan Rani berkata, setiap manusia itu sudah ditetapkan Allah perjalanan hidup sendiri dan masing-masing sudah ada bahagiannya.





"Soal jodoh, rahsia Allah. Buat masa ini, apa yang sudah tertulis, saya belum bertemu jodoh. Walaupun suatu ketika saya pernah rancang nak hidup bahagia seperti orang lain tetapi perancangan manusia takkan dapat mengatasi aturan Allah.

"Pada usia melewati 40-an ini sebenarnya Allah sudah memberi kesedaran kenapa masih tidak memiliki isteri dan anak lagi. Semuanya bersebab dan yang penting perkara ini (perkahwinan) tidak lagi menjadi tekanan kepada saya kerana sudah reda," katanya.

Azhan berkata, dia melihat ada tugas dan tanggungjawab lebih besar buat dirinya daripada terus memikirkan soal jodoh dan perkahwinan.

"Namun, seandainya saya masih ditakdirkan dapat bertemu jodoh juga, hanya rasa bersyukur mampu diucapkan. Bagaimanapun, jika di dunia ini saya tidak bertemu jodoh hingga ke akhir hayat, saya tetap yakin Allah pasti menjanjikan yang lebih baik di sana (akhirat) nanti. Saya reda," tuturnya.

Sementara itu, mengulas mengenai wataknya sebagai Ustaz Syed Hamadi dalam Nur 2 yang kekal dengan watak jahat, Azhan selesa berpandangan positif.

"Saya tahu komen penonton yang masih melihat perangai Syed Hamadi tidak berubah serta dilabel syaitan, itu bermakna lakonan dipersembahkan berkesan.

"Apapun, itu sekadar lakonan yang mana segala yg baik itu diambil sebagai iktibar dan sebaliknya pula dijadikan sempadan," ujarnya.

Drama 'Nur 2' arahan Shahrulezad kini ditayangkan di Slot Samarinda TV3 jam 10 malam. Selain Azhan, ia dibintangi Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan Azar Azmi.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: