09 April 2019

TRAUMA DIBELASAH PELAWAK : "MUNGKIN AKAN AMBIL TINDAKAN SAMAN" - PAK YA


"Sehingga hari ini, badan saya masih berasa sakit dan pening kepala kerana sukar tidur. Pemikiran saya kusut dan tidak dapat berfikir dengan baik. Saya hanya berehat dan makan ubat.





"Mujur ada isteri dan anak yang menjaga saya di rumah," demikian kata pengawal keselamatan, Yahya Manap yang mungkin mengambil tindakan saman terhadap seorang pelawak yang membelasah dan menendangnya dalam kejadian pergaduhan di Taman Acacia di Nilai, baru-baru ini.

Yahya atau mesra disapa Pak Ya, 70, berkata perbuatan artis lelaki terbabit bukan sahaja menyebabkan kecederaan pada mukanya, tetapi dia turut mengalami trauma. Menurutnya, dia diberi cuti sakit selama tiga hari oleh pihak Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) kerana kecederaan dialaminya itu.

Yahya berkata, dia akan mendapatkan rawatan susulan sekiranya keadaan kesihatannya tidak menunjukkan perubahan. Ditanya sama ada artis lelaki terbabit atau wakil ada menghubunginya untuk meminta maaf, Yahya berkata, dia tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada pihak berkenaan.

"Beri saya masa untuk rehat dan tenangkan fikiran dahulu. Saya belum bersedia jumpa dia. Perbuatan dia (pelawak) saya boleh maafkan, tapi kesan akibat perbuatannya itu masih terasa sehingga hari ini. Saya mungkin akan ambil tindakan saman tapi bergantung kepada keputusan keluarga," ujarnya.

Dalam kejadian jam 8 malam Sabtu, Yahya cedera pada hidung dan bengkak di muka serta sakit di pinggang serta lutut akibat tindakan lelaki terbabit.

Kejadian pergaduhan berlaku dipercayai kerana lelaki itu tidak puas hati selepas tidak dapat keluar daripada kawasan perumahan berkenaan berikutan palang keselamatan ditutup.

Sebelum itu, lelaki terbabit dikatakan mengekori sebuah kenderaan lain masuk tanpa kebenaran menyebabkan Yahya yang bertugas mengekori lelaki itu memintanya membuat pendaftaran, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia dibelasah dan ditendang serta dibaling batu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: