27 May 2019
"ABANG MASIH BELUM SEDAR... SAYA REDA DENGAN ATURAN-NYA" - ISTERI DAHLAN ZAINUDDIN
Selepas tidak sedarkan diri kerana serangan angin ahmar, Sabtu lalu, penyanyi popular era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 78, masih belum menunjukkan perubahan. Isterinya, Datin Effa Rizan ketika dihubungi pagi tadi memaklumkan, penyanyi lagu 'Kisah Seorang Biduan' itu masih belum memberikan sebarang reaksi sejak dimasukkan ke hospital.
"Abang masih belum sedar dan dalam pemantauan doktor. Saya dan anak bergilir-gilir menjaga suami kerana dia masih ditempatkan di wad kecemasan. Apa yang terjadi, saya reda dengan aturan-Nya. Saya tidak akan jemu menjaganya. Saya dan anak iaitu Natasha Idha, Mohd Danial serta Athinia Ines tidak akan berputus asa berdoa supaya dia akan segera pulih," katanya.
Effa berkata, sebelum ini, keadaan kesihatan suaminya agak stabil, malah masih mampu memenuhi undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Mengimbas detik cemas, kelmarin, Effa berkata, dia dan suaminya sedang asyik berbual sebelum Dahlan tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi.
Klik untuk gambar besar
"Saya berusaha mengejutkannya kerana menyangka dia mungkin tertidur. Tidak sedap hati melihat keadaannya, saya terus menghubungi ambulans untuk membawanya ke Hospital Selayang," jelasnya mengenai keadaan suaminya yang diserang buat kali kedua di bahagian kanan ketika menanti waktu berbuka puasa.
Empat tahun lalu, Dahlan pernah diserang strok yang mengakibatkan lumpuh sebelah kiri. Biarpun ujian itu agak berat, Effa reda dan memohon agar Allah memudahkan segala-galanya: "Sebagai isteri, dalam bulan yang mulia ini saya mendoakan agar kesihatan abang bertambah baik. Selain itu, saya juga minta rakan-rakan artis serta semua pihak untuk turut mendoakan kesihatan abang".
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment