11 May 2019
ANAK JATUH DI TANGGA TEMPAT 'KELIBAT' MUNCUL - EZZATY BERANG, BERI 'AMARAN'
"Insiden terbabit berlaku sekitar jam 8 malam dan ketika itu, suami sedang menonton televisyen di ruang tamu. Kami tidak tahu bagaimana Harum boleh berada di kawasan itu sebelum terjatuh hingga gusinya berdarah. Saya jadi berang dan memberi 'amaran' kepada makhluk itu kerana ia seperti mengganggu anak saya.
"Jika sebelum ini kelibat kelihatan di tangga ketika bergambar bersama Harum, kali ini dia terjatuh pula di tempat yang sama," demikian ujar pelakon Ezzaty Abdullah yang berdepan detik cemas apabila anaknya perempuannya, Harum Dahlia, jatuh di tangga sehingga mengalami pendarahan pada bahagian gusi.
Lebih merisaukan dirinya apabila kanak-kanak berusia setahun lima bulan itu jatuh di tempat sama yang menyaksikan kemunculan 'kelibat' ketika foto bersama Harum dirakam, penghujung tahun lalu. Menceritakan kembali detik berkenaan, Ezzaty berkata, entah bagaimana Harum boleh bermain sendirian di tangga ketika dirinya sedang memasak, baru-baru ini.
Klik untuk gambar besar
Pada Disember lalu, isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu berdepan pengalaman mistik apabila foto bersama anak yang dikongsi di InstaStory turut dikatakan 'merakamkan' beberapa kelibat di belakang mereka. Ezzaty turut berkata, kejadian berkenaan membuatkan dirinya lebih berani dan tidak hanya bergantung kepada suami.
"Alhamdulillah, selepas kejadian lima bulan lalu itu, kami tidak lagi diganggu. Biarlah jika ia hendak menumpang, asalkan tidak mengacau kita yang berada di rumah," katanya yang kini menjadi wajah kepada produk antipenuaan, Vermillion, yang mengandungi ekstrak bunga ros untuk kesegaran berpanjangan.
Berkongsi mengenai perkembangan terkini dirinya pula, Ezzaty memaklumkan dia kini sibuk mengendalikan spa yang dinamakan dengan nama puteri kesayangannya, Harum, di Bukit Jelutong, Shah Alam. Menurutnya, dia berjinak-jinak dalam perniagaan sebagai pelaburan untuk masa hadapan.
"Jujurnya, saya tidak mempunyai pengalaman menguruskan spa, namun bersama bantuan seorang rakan, impian membuka Harum terlaksana juga. Saya bersyukur kerana setiap hari kami menerima pelanggan baharu, selain kunjungan mereka yang pernah mendapatkan khidmat pusat penjagaan diri ini.
"Saya menceburkan diri dalam perniagaan sebagai pelaburan untuk masa hadapan. Saya kena terima hakikat, suatu hari nanti rezeki dalam lakonan mungkin tidak lagi selebat sekarang. Apa pun, buat waktu ini bidang lakonan masih menjadi keutamaan kerana minat saya lebih ke arah itu,” kata Ezzaty.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos & Harum Dahlia
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment