22 May 2019
"CUKUPLAH SATUKAN..... KAMI SUDAH TIADA HUBUNGAN LAIN" - RASHIDI ISHAK
"Harapan saya sebenarnya sudah hilang saat saya melafazkan talak terhadap bekas isteri. Saya tahu jodoh itu rahsia Allah. Tetapi buat masa sekarang, untuk kembali bersama bekas isteri, bukanlah satu pilihan. Saya tahu ramai peminat mengharapkan keajaiban.
"Namun, cukuplah menyatukan kami. Ini kerana kami sudah meneruskan kehidupan masing-masing. Selain menjadi ibu bapa kepada dua anak, kami sudah tiada hubungan lain," kata pelakon Rashidi Ishak yang tidak mahu peminat terus berharap kerana perkara kembali semula bersama bekas isteri, aktres Vanidah Imran mustahil baginya.
Sejak mengumumkan penceraian dua bulan lalu, masih ramai mengharapkan Rashidi dan Vanidah kembali bersatu. Sedar impian yang dikongsi peminat, Rashidi bagaimanapun, berharap perkara itu tidak diungkit lagi. Apatah lagi dirinya tidak meletakkan harapan untuk rujuk dengan bekas isteri.
Pernah timbul gosip mengatakan Rashidi kini sedang mengenali seorang gadis, Rashidi mengakui dirinya kini sedang membuka hatinya untuk berkawan dengan semua orang. Jelas Rashidi, beliau tidak mahu terus bersedih lagi.
Klik untuk gambar besar
"Sekarang saya memang berkawan dengan semua orang. Jika ada jodoh, saya tidak menolak. Mungkin orang akan fikir terlalu cepat. Tetapi sampai bila saya perlu bersedih. Lumrah manusia mahukan teman dalam hidup,” jelasnya.
Terdahulu Mac lalu, Rashidi mengesahkan beliau dan Vanidah sudah bercerai di Mahkamah Syariah di sini, pada 9 Ogos tahun lalu. Berita itu sengaja dirahsiakan bagi menjaga hati beberapa pihak.
Mengenai sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, Rashidi tidak melihat soal status dirinya sekarang sebagai perubahan ketara.
"Sama sahaja. Cuma saya sudah tidak beristeri... Itu sahaja. Anak-anak masih ada. Saya tidak berasa terlalu kehilangan. Mungkin sudah biasa dengan kehidupan solo selepas bercerai.
"Cuma dalam soal siapa yang akan beraya dengan anak-anak terlebih dahulu, kami belum berbincang. Tetapi rasanya tiada masalah kerana Vanidah beraya di sini," tuturnya.
Untuk makluman, Rashidi, 45, dan Vanidah, 46, mendirikan rumah pada 1 Oktober 2000. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Mikhail Imran, 18 dan Maryam Rashika, 15.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Rotikaya & Instagram Rashidi Ishak
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment