21 May 2019
DALAM PROSES BERBAIK - ANAK SHARNAAZ ALAMI JANGKITAN SALURAN KENCING
Mengenai hubungannya dengan isteri, Noor Nabila Mohd Noor yang dikatakan bermasalah, sejak Februari lalu, pelakon Sharnaaz Ahmad mengaku mereka bersepakat memulihkan perhubungan demi anak mereka, Jebat Jayden Ahmad yang berusia lapan bulan.
"Saya dan Nabila sedang dalam proses pulih, Jebat adalah segala-galanya bagi saya. Apa yang berlaku ketika ini, kami sedang melalui proses pemulihan akhlak.
"Kami mahu membetulkan diri menjadi suami isteri yang lebih baik demi Jebat," katanya ditemui di majlis berbuka puasa dan sumbangan duit raya Megapine (M) Sdn Bhd di sebuah hotel.
Tambah pelakon filem 'Sindiket' itu, perhubungan mereka lebih akrab apabila Jebat mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) dan sedang dirawat.
"Mungkin apa yang terjadi pada Jebat sehingga kami kembali memulihkan keadaan adalah kerana aturan Allah. Apa-apapun, saya reda dan terima dengan ketentuan Allah. Tetapi saya tidak tahu apa kesudahan kami," ujarnya.
Klik untuk gambar besar
Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 34, berharap proses pemulihan antaranya dengan isteri tidak diganggu campur tangan pihak luar:
"Apa yang terjadi, kami cuba selesaikan sebagai satu entiti keluarga. Cuma saya berharap tiada campur tangan luar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Ini kerana kami cuba memperbaiki diri untuk menggalas peranan masing-masing," tuturnya.
Sebelum ini, beberapa perkongsian status Sharnaaz dalam media sosial mengundang spekulasi netizen konon dia berhadapan masalah rumah tangga. Perkara itu membuatkan rata-rata peminat mendoakan perhubungannya dengan kakak kepada selebriti Neelofa itu baik.
Sebelum ini, Shaarnaz mahu pun Nabila memilih untuk mengunci mulut mengenai gosip berterbangan membabitkan rumah tangga mereka. Sharnaaz dan Nabila, 35, bernikah pada 31 Mac 2017. Mereka dikurniakan Jebat pada 30 Ogos tahun lalu.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Sharnaaz Ahmad & Noor Nabila
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment