08 May 2019
DIKECAM 'BAKAL BUKA TUDUNG' - HANEZ SURAYA KECEWA, JANJI CUBA PERTAHANKAN
Semua mengetahui mengenai isu buka tudung dalam kalangan artis wanita sejak kebelakangan ini yang termometer industri hiburan tempatan panas. Selepas Uqasha Senrose dan Sara Ali, peminat dikejutkan pula dengan keputusan Emma Maembong yang kembali tidak mengenakan hijab sekitar beberapa bulan lalu.
Terbaharu, nama Fathia Latiff menjadi sebutan selepas dia yang telah berhijrah sekitar tiga tahun lalu tampil ke sebuah acara pertunjukan fesyen dengan menggayakan potongan rambut pendek. Isu-isu sebegini tidak hanya menjadi bualan ramai, malah membuatkan pengguna media sosial bertindak memberikan kritikan terbuka kepada artis-artis terbabit bahkan menjalar ke ruang peribadi selebriti berhijab yang lain.
Dek kerana isu tersebutm, nama pelakon Hanez Suraya yang merupakan antara artis bertudung turut menerima kecaman daripada netizen. Hanez yang ditemui pada majlis pelancaran produk pewarna bibir 'CakePop' baru-baru ini berkata, namanya disenaraikan oleh netizen sebagai artis yang bakal membuka tudung dalam masa terdekat.
Kecewa dengan andaian tersebut, Hanez mampu berjanji tidak akan membuka tudung dan cuba mempertahankan pemakaian hijabnya sehingga bila-bila. Menurut Hanez yang mula bertudung sekitar empat tahun lalu, banyak hati yang perlu dijaga lebih-lebih lagi dia kini sudah bergelar isteri sejak berkahwin dengan Romie Razin Adilha Abd. Rais sejak 2015.
Klik untuk gambar besar
"Saya tidak mahu memberikan komen kerana kita sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Apa yang pasti, kita doakan agar kembali mengenakan tudung. Namun, saya berasa hairan dengan segelintir netizen. Setiap kali ada artis buka tudung, pasti nama saya akan diandaikan sebagai artis seterusnya yang akan berbuat demikian.
"Sejujurnya, dalam keadaan sekarang, banyak hati yang perlu saya jaga. Saya sudah berkahwin dan perlu memelihara air muka suami. Selain itu, saya perlu menghormati keluarga saya dan keluarga mertua. Saya sendiri berasa kurang selesa sebenarnya sewaktu masih tidak bertudung dahulu. Jadi, saya cuba pertahankan hijab yang saya pakai dengan kerelaan hati," ujarnya.
Dalam pada itu, Hanez turut bercerita mengenai kandungannya yang kini sudah memasuki bulan ketujuh dan produk kosmetik pertamanya yang kini telah mula dipasarkan. Dalam pada itu, Hanez mengakui segala keputusannya untuk kembali aktif berlakon atau sebarang aktiviti seni haruslah mendapat izin daripada suami.
"Khabar baik. Benar, kandungan saya kini telah memasuki bulan yang ketujuh. Menurut doktor, saya akan melahirkan bayi perempuan awal Julai depan. Sewaktu mengandungkan Putri Aleesya, 4, saya sangat pasif. Ketika itu, saya jarang keluar dan kerap duduk di rumah. Namun, lain pula dengan kehamilan kali ini. Saya terlalu obses dengan budaya dan industri hiburan Korea.
"Seperti wanita hamil lain yang mengidam pelbagai jenis makanan, saya mengidam untuk menonton drama dan mendengar muzik Korea. Mungkin disebabkan hal tersebut, saya mendapat ilham untuk memasarkan produk kosmetik sendiri, iaitu pewarna bibir, 'CakePop'. Tidak dinafikan, pelakon-pelakon Korea mempunyai kulit yang cantik. Mereka juga mempunyai bibir yang sangat mulus.
"Jadi, saya cuba untuk hasilkan produk pewarna bibir yang lebih ringan berbanding gincu dan selamat untuk setiap peringkat umur. Perasaan mahu berlakon itu ada. Cuma, saya perlu meminta kebenaran daripada suami. Saya tidak boleh berjanji kerana segala keputusan datang daripadanya," katanya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Hanez Suraya
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment