09 May 2019
ISU FOTONYA DISALAH GUNA - AZHAN RANI SUDAH MAAFKAN, HARAP BERI KESEDARAN
Menganggap isu penyalahgunaan foto dirinya bagi tujuan promosi sebuah produk sudah selesai apabila pihak terbabit memohon maaf, pelakon Azhan Rani berkata, tindakan undang-undang tidak akan diteruskan kerana tujuan menghebahkan isu itu adalah untuk menyuntik kesedaran kepada peniaga agar menghormati hak orang lain.
"Kita teruskan Ramadan dengan damai... Saya anggap perkara ini sudah selesai. Pemilik produk sudah memohon maaf. Insya-Allah, setulus ikhlas saya maafkan," katanya.
Sebelum ini, aktor berusia 42 tahun itu meluahkan kekesalan sebaik mendapati fotonya terpampang dalam promosi sebuah alat penapis air di laman sosial.
Azhan berkata, dia tidak akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit biarpun ada pihak menawarkan diri membantu membawa kes terbabit ke muka pengadilan.
Klik untuk gambar besar
"Itu bukan tujuan saya... Matlamat utama adalah memberi kesedaran supaya menghormati hak orang lain dan faham pentingnya meminta izin. Kalau kena cara, (mungkin) boleh bagi percuma promosi itu," ujarnya.
Azhan menjelaskan, tindakannya mendedahkan foto dan jenama barangan terbabit adalah bagi membuka mata pengusaha berhubung kesalahan menyalahguna foto individu berpengaruh sebagai alat promosi tanpa kebenaran.
Tambahnya, pengusaha terbabit diharap menerapkan kesedaran kepada setiap ejen dan mengingatkan mereka implikasi tindakan seumpama itu. Azhan berkata, entri terbabit ditujukan kepada pengusaha lain yang pernah menggunakan cara sama selain menjadi amaran terakhir buat sesiapa yang masih berdegil.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Azhan Rani
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment