17 May 2019
MAAFKAN BEKAS SUAMI - BELLA ASTILLAH TAKKAN PISAHKAN ANAK DENGAN AYAH
"Jangan bimbang, saya tidak membenci Aliff, malah dia tetap ayah anak kami. Saya takkan jauhkan dia dengan Ayden. Dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya maafkan dia berulang kali kerana kita manusia biasa. Kalau saya yang bersalah, saya tentu mahu dimaafkan. Namun, sebagai manusia, jauh di sudut hati saya tetap sedih.
"Cuma harapan saya, perpisahan ini dapat mengubah Aliff dan menjadikan dirinya lebih baik. Kita doa yang baik-baik," demikian kata Bella Astillah yang menegaskan tidak akan sesekali memutuskan hubungan ayah dengan anaknya, walaupun mereka sudah berpisah.
Katanya, bekas suami, Aliff Aziz dan keluarganya tidak perlu takut kerana apa juga yang terjadi, penyanyi dan pelakon yang berasal dari Singapura itu tetap ayah kepada anak tunggal mereka, Mohamad Ayden Adrean. Ditanya sama ada dia berdendam dengan Aliff, Bella berkata, segala perbuatan Aliff terhadapnya sudah dimaafkan.
Semalam, Aliff melafazkan cerai talak satu terhadap Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. Permohonan cerai itu difailkan Bella selaku plaintif pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Klik untuk gambar besar
Sementara itu, ibu Aliff, Siti Hafiza Sheikh Mohamad pula menulis tanda pagar, #tiadatalakantaraayahdananak menerusi entri di laman sosial, sekali gus mengharapkan, perpisahan tidak menjarakkan hubungan Aliff dengan anaknya.
Untuk makluman, Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Ujarnya, di sebalik ujian dan kesukaran yang dilalui, kehadiran Ayden, 2, disifatkan sebagai kurniaan terbaik Allah.
"Ayden sentiasa menjadi cahaya hidup kami, walaupun tidak dapat bertemunya dengan lebih kerap pada masa akan datang. Umi Wan dan Tok Ayah akan sentiasa mendoakan Ayden dari jauh supaya menjadi insan yang hebat nanti. Kami semua sayang Ayden, terutama Daddy (Aliff).
"Semoga Ayden membesar dengan sihat dan sentiasa bahagia," luahnya di laman Instagram berserta tanda pagar #tiadatalakantaraayahdananak, #tiadatalakantaracucudanatuksertaninda bersama gambar cucunya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Siti Hafiza
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment