26 May 2019
MAHU JALANI PROSES KEHAMILAN DENGAN TENANG - KAKA AZRAFF MOHON MAAF
Meminta maaf kepada semua individu yang pernah rapat dengannya termasuk rakan baik, Cik Puan Juliana Evans, pelakon dan penyanyi Kaka Azraff, 30, berkata hanya permohonan maaf mampu dipintanya jika selama ini ada di antara mereka yang tersinggung dan pernah berkecil hati dengannya.
"Dalam keadaan hamil sekarang, saya tidak mahu lagi memikirkan hal negatif dan mahu menjalani proses kehamilan ini dengan tenang. Saya dengan seikhlas hati memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah tersinggung dan berkecil hati dengan segala perbuatan dilakukan termasuk Juliana.
"Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat mengelak melakukan kesilapan. Maafkan saya di atas segala-galanya," ujar Kaka yang kini sedang hamil anak pertamanya hasil perkahwinan dengan Adam Azriff pada 27 November tahun lalu.
Klik untuk gambar besar
Sebelum ini, kecoh diperkatakan mengenai hubungan persahabatan Kaka dan Juliana yang didakwa sudah tidak rapat serta baik seperti dahulu. Ditanya apakah kesalahan atau kesilapannya, Kaka berkata tidak perlulah dia mencanangkan dan biarlah rahsia.
"Cukup sekadar saya memohon maaf kepada mereka. Apa yang sudah berlaku, saya tidak mahu mengingatinya lagi. Saya harus positif, tenang dan hanya memikirkan yang baik-baik sahaja ketika hamil. Tidak perlu terus mengeruhkan keadaan," katanya.
Kaka atau nama sebenar Noor Atiqa Noor Azraff yang hamil empat bulan berkata dia juga mendoakan yang baik buat rakan yang mengenalinya. Penyanyi lagu 'Bukan Hal Aku' dan 'Tepi Sikit' itu berkata harapannya semoga pada bulan ini, kemaafan yang dipinta itu diterima.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Kaka Azraff
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment