11 May 2019

MAHU TERUS BERLAKON - WAN MAIMUNAH RISAU TAK SEMPAT TUNAI HAJI


"Besar harapan saya dapat menunaikan haji ketika tubuh badan masih sihat supaya dapat menyempurnakan ibadat dengan mudah, tanpa menyusahkan orang lain. Begitupun, melihat pada tarikh jangkaan, banyak tahun lagi saya perlu tunggu.





"Saya pula memang tak mampu untuk ke sana menerusi pakej swasta. Saya juga agak berat untuk membuat rayuan, risau ada lagi insan di luar sana yang lebih lama menunggu. Memang saya rasa hiba mengenangkan perkara ini.

"Tetapi saya takkan berhenti berdoa supaya niat saya dipermudahkan," kata pelakon Wan Maimunah Abdul Aziz, 65, yang menitiskan air mata ketika berkongsi hasratnya dan mengakui bimbang andai hajat untuk mengerjakan ibadat haji tidak kesampaian mengenangkan pelbagai faktor.

Saat keinginan untuk mengerjakan Rukun Islam kelima semakin menebal dalam diri, bintang air mata itu bagaimanapun berkata, dia tidak membuat rayuan kepada Tabung Haji untuk mempercepatkan tarikh pemergian ke Tanah Suci kerana enggan terambil giliran jemaah lain.

Wan Maimunah yang selesa dipanggil ibu kini berada di ibu negara untuk melangsaikan beberapa urusan, selain menjalani penggambaran sebuah program TV siaran hari raya. Sebelum ini, dia yang turut dikenali dalam arena komedi menetap bersama anak angkatnya di Sungai Udang, Melaka.

Klik untuk gambar besar


Ditanya mengenai kesihatan dirinya selepas dimasukkan ke hospital susulan sesak nafas, Ogos tahun lalu, katanya tiada apa-apa yang perlu dirisaukan selagi dia menjaga pemakanan. Wan Maimunah turut memberitahu yang dia masih terus berlakon selagi diberikan kekuatan untuk berbuat demikian.

"Alhamdulillah, Allah menjentik saya supaya beringat dan bersedia. Setakat ini, keadaan saya baik-baik sahaja... Biasalah jika setakat sakit pening orang tua. Cuma, sejak keluar hospital, tawaran berlakon boleh dikira dengan jari.

"Barangkali penerbit atau pengarah risau saya masih kurang sihat. Sebenarnya saya masih bertenaga dan boleh lagi bekerja. Lagi pun kalau saya tak berlakon, mana nak cari duit?

"Apa pun saya bersyukur apabila dikelilingi ramai insan yang menyayangi saya. Adik angkat dan anak angkat juga saya anggap sebagai rezeki," ujarnya yang pernah merangkul trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak lima kali.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: