16 May 2019
PATAH BALIK, SAH CERAI TALAK DUA : BEKAS ISTERI PU ABU: "BAYI SAYA TIDAK AKTIF"
"Ketika hakim buat keputusan (penceraian tidak sah) itu, sebenarnya ada kenyataan yang tidak penuh daripada pihak saya. Ada maklumat yang tidak cukup membuatkan perceraian itu tidak sah dan saya terpaksa berpatah balik bagi menambah kenyataan.
"Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas prosiding pagi tadi (Rabu), saya baru teringat ada kenyataan yang saya tidak jelaskan kepada mahkamah.
"Saya dan Ain terpaksa berpatah semula ke sana dan mahkamah akhirnya memutuskan kami sah bercerai," demikian kata bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan yang enggan berkongsikan kenyataan tambahan itu tersebut kepada umum.
Semalam, rata-rata netizen merasa gembira apabila Mahkamah Rendah Syariah Klang memutuskan lafaz talak yang dibuat PU Abu terhadap isterinya, Ain Afini menerusi Whatsapp tidak sah.
Bagaimanapun, rumahtangga PU Abu dan Ain akhirnya menemui titik nokhtah apabila pasangan itu disahkan bercerai dengan talak dua selepas kedua mereka kembali ke mahkamah semula susulan PU Abu dikatakan tidak memberi kenyataan penuh.
Klik untuk gambar besar
Sementara itu, Ain mengesahkan perkara tersebut namun tidak dapat berkongsikan kenyataan tambahan PU Abu yang dikemukakan kepada mahkamah kerana melibatkan aib bekas suaminya.
"Kami sambung bicara kes waktu petang. Ada maklumat pihak lelaki yang tak lengkap sewaktu perbicaraan pagi. Itu yang menjadi punca talak tak sah. Jadi kalau ikutkan mahkamah (keputusan) macam tu la... jatuh talak dua. Tapi maaf saya tak dapat kongsikan (fakta tambahan yang dikemukakan kepada mahkamah) kerana ia melibatkan aib di pihak sana," ujarnya.
Pada 28 Januari tahun lalu, PU Abu dan Ain Afini telah bercerai talak satu dan rujuk semula kira-kira sebulan kemudian. Bagaimanapun, PU Abu menghantar teks lafaz cerai menerusi WhatsApp pada pukul 11.44 pagi, 13 Mac lalu selepas seminggu meninggalkan Ain Afini. Ain Afini yang kini sarat hamil tujuh bulan dijangka bersalin 10 Julai depan.
Dalam pada itu, bekas isteri PU Abu itu turut meluahkan rasa sedih selepas anak yang kandungnya didapati kurang aktif akibat dari tekanan yang dialaminya sepanjang proses penceraian dan mungkin kerana kontroversi yang menghimpit dirinya.
Menurut Ain, selepas pemeriksaan dilakukan beberapa minggu lalu, doktor melaporkan bahawa keadaan bayi dalam kandungan kurang aktif dan memintanya untuk lebihkan rehat dan tidak terlalu tertekan.
"Sebenarnya keadaan kandungan tidak berapa baik, sewaktu pemeriksaan beberapa minggu lepas doktor kata bayi saya tidak aktif. Doktor nasihatkan saya supaya tidak terus berada dalam tekanan dan banyakkan berehat," jelasnya.
Kemelut yang akhirnya berakhir hari ini selepas mereka disahkan bercerai dengan talak dua, Ain menganggap segala apa yang berlaku terhadapnya kini punya hikmah tersendiri dan beliau redha.
"Ustaz mahu kembali, namun saya menolak. Untuk apa? Dia pun sudah ada isteri. Saya tiada apa-apa nasihat padanya, biarlah dia dengan kehidupannya sekarang. Saya kuat apabila mendapat sokongan ibu bapa dan keluarga di sini," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: mStar & Utusan Online
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment