04 May 2019

"SELAGI TAK DAPAT HALANGAN..... SAYA AKAN TERUS NYANYI LAGU ARWAH" - SYAFIQ FARHAIN


"Siapa yang melarang saya untuk menyanyikan lagu arwah? Kepada siapa pula saya harus membuat bayaran sekiranya memilih untuk terus menyanyikan lagu bapa saya? Malah, saya teringat pesanan arwah yang meminta saya menyanyikan lagu nyanyiannya jika dia sudah tiada nanti.





"Pesanan itu yang saya pegang sehingga kini. Lagipun, ramai peminat yang menyukai lagu Saleem dan Iklim. Selagi saya tidak mendapat halangan daripada pihak pengurusan dan pencipta karya terbabit, saya akan terus menyanyikan lagu dendangan arwah," ujar penyanyi Syafiq Farhain, 25.

Bekas peserta program 'Big Stage' itu menegaskan akan untuk terus menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan arwah bapanya, Saleem. Menurutnya, dia berazam untuk menyambung warisan seni bekas vokalis kumpulan Iklim berkenaan tanpa mengambil pusing kontroversi berkaitan perkara itu.

Sebelum ini, isteri Saleem, Julia Bachok, dilaporkan memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya mengaut keuntungan menggunakan nama arwah suaminya.

Katanya, dia bukan tidak membenarkan mana-mana pihak menyanyikan lagu pernah dipopularkan bintang kelahiran Terengganu itu, tetapi harus meminta izin daripadanya terlebih dahulu.

Klik untuk gambar besar


Saleem atau nama sebenarnya AM Saleem Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, di sini, pada 14 Oktober tahun lalu. Beliau meninggal selepas 22 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, PPUKM, kerana kemalangan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras.

Berkongsi perkembangan kerjaya muziknya pula, penyanyi lagu 'Aku Jatuh Cinta' itu baharu sahaja melancarkan lagu duet irama tradisional bersama Baby Shima, berjudul Manis-Manis Cinta.

"Lagu ini adalah karya terakhir ciptaan arwah Pak Ngah (Datuk Datuk Suhaimi Mohd Zain). Ia baharu sahaja dilancarkan, tetapi kami belum sempat membuat sebarang promosi memandangkan masing-masing terikat dengan komitmen kerja.

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri nanti kami bercadang mencuri masa untuk turun padang mempromosikan lagu ini. Bukan mudah untuk kami berdua menyusun jadual kerana Baby Shima kini bergerak aktif di Indonesia," katanya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Syafiq Farhain


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: