06 May 2019

"TIDUR DALAM SEDAR & ITULAH YAKINKAN SAYA UNTUK TERUS BERJUANG" - MAMAT KHALID


"Sewaktu dikomakan, saya cukup sedar bahawa saya ditidurkan. Diberi morfin (ubat) agar tidur. Saya bukan koma sebab jatuh bangunan atau tiba-tiba tidak sedarkan diri. Saya masih ingat, saya yang minta disuntik morfin. Itu perkara terakhir yang diingati sebelum tidur panjang.





"Saya tidur dalam sedar dan perkara itulah yang meyakinkan saya untuk terus berjuang," demikian cerita pengarah terkenal, Mamat Khalid, 56, yang turut berkata dalam lena yang separuh sedar, beliau sebenarnya koma sebagai seorang pembikin filem.

Beliaulah seorang penglipur lara yang berjuang untuk terus hidup biarpun dalam keadaan kritikal, walhal pada suatu ketika, jasad dan nyawa berdiam pada garis halus bernama kematian.

Mengakui sangat payah untuk bersuara apatah lagi menggerakkan jari semasa berjuang melawan tubuh yang tidak bermaya sehingga tertanya-tanya apakah kesudahan hidupnya begitu, Mamat bagaimanapun tidak pernah mengalah atau berasa sudah sampai masanya untuk pergi.

Sepanjang lena diulit wayar-wayar, ubat dan morfin yang mengkhayalkan, Mamat menceritakan beliau melihat visual seperti menukar saluran televisyen.

"Saya berjumpa dengan ramai orang. Ada antara mereka yang pernah saya jumpa. Ada yang memang mahu ditemui dan ada langsung tidak dikenali.

Klik untuk gambar besar


"Ingatan itu tidak datang serentak, tetapi apa yang boleh dikatakan, saya mengamati suasana khayal itu daripada kaca mata seorang pembikin filem," jelasnya yang segera menidakkan benang mimpi tersebut akan dipintal dalam karya mendatang.

Ditebak apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sebaik sahaja membuka mata, jawabnya spontan: "Keluarga. Saya mahu luangkan banyak masa dengan keluarga. Merekalah yang bersama dengan saya sepanjang sakit.

"Mereka kekuatan saya. Saya mahu pastikan keluarga, isteri dan anak-anak ada di sisi ke mana saya pergi. Mahu makan bersama dan bercuti. Bukannya selama ini saya tidak pedulikan keluarga, tetapi selepas detik yang dilalui, saya mahu memperbanyakkan lagi masa dengan keluarga.

Beliau amat disayangi, jika tidak masakan seluruh warga filem, peminat dan orang yang tidak pernah mengenalinya secara dekat mendoakan kesejahteraan dan kesembuhannya. Sepertimana kudusnya doa orang ramai, begitu besarnya tanggungjawab tertanam dalam jiwa seniman itu ketika ini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua orang yang mendoakan saya selama berada di hospital. Membaca semula mesej-mesej dalam telefon dan dalam laman sosial, tidak termasuk yang mengadakan solat hajat atau menyedekahkan bacaan Yassin buat saya, perasaan sayu tidak boleh digambarkan.



"Saya menangis dan menyifatkan diri sebagai salah seorang yang cukup bertuah kerana dapat peluang begini. Jadi, apa lagi yang saya boleh buat untuk balas segala budi baik mereka, selain daripada berkarya. Saya kena dan akan terus berkarya untuk mereka. Itu sahaja yang mampu dilakukan untuk balas jasa orang kepada saya," katanya mengakui berada di ambang kematian sewaktu diuji sakit.

Beliau sedar peluang hidup buat pesakit yang berdepan pneumonia atau radang paru-paru yang dimasukkan ke unit rawatan rapi sangat tipis. Namun, ujian yang dilalui memberi hikmah untuk beliau bermuhasabah tentang kesihatan diri.

"Saya rasa seperti mati hidup semula. Kalau komputer, apa yang berlaku baru-baru ini seperti reboot. Badan saya memang perlu di reboot untuk kembali normal. Alhamdulillah, sekarang saya semakin sembuh, cuma otot-otot banyak mengecut. Saya masih lemah untuk berdiri dan cepat letih apabila berjalan, sebab itu perlu gunakan kerusi roda," tuturnya yang menjalani rawatan fisioterapi bersama pembantu kesihatan di rumahnya hampir setiap hari.

Mamat yang dibenarkan keluar dari Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor kira-kira sebulan lalu kerana masalah paru-paru dan jantung itu turut bercerita tentang adegan-adegan yang bakal disaksikan menerusi telefilem terbaharunya, '17 Puasa' yang bakal disiarkan sekitar dua minggu lagi.

Paling lucu apabila beliau turut berkongsi tentang bayangan adegan daripada filem sambungan 'Hantu Kak Limah' yang sedang direncanakan untuk melakukan penggambaran selewat-lewatnya tahun depan.



Satu perkara yang tidak pernah terhakis daripada ingatan Mamat adalah rasa syukur apabila beliau masih diberi peluang untuk menikmati kemuliaan bulan Ramadan sebagaimana umat Islam lain. Bezanya, kali ini beliau tidak berpuasa di set penggambaran yang sudah menjadi rutinnya setiap kali Ramadan.

"Mulanya, saya mahu bekerja dan turun ke set penggambaran, tetapi tidak dibenarkan oleh keluarga. Mereka mohon saya berehat.

"Mungkin ada benarnya permintaan keluarga kerana saya juga berharap dapat jalani ibadah puasa dengan sempurna tahun ini. Hal ini kerana, saya menghidapi masalah gastrik yang serius," ujarnya yang akan meluangkan banyak waktu berada di Sarang Art Hub dan kediamannya di Ipoh sepanjang Ramadan.

Selain menunggu reaksi peminat untuk menyaksikan drama '17 Puasa', sebuah lagi karya beliau yang ditunggu-tunggu ramai adalah 'Rock 4' yang kini masih dalam suntingan akhir dan proses mixing. Filem arahannya, 'Manap Karaoke' juga bakal ditayangkan menjelang Januari tahun depan.

"Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah saya akan berkarya," demikian ikrar Mamat Khalid demi membayar doa dan kasih sayang khalayak terhadap kesenimannya semasa berdepan ujian ditimpa sakit hujung Januari lalu.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: