18 June 2019

GADAI BARANG KEMAS UNTUK RAWAT - MAK JAH DISAHKAN BEBAS KANSER APRIL LALU


"Barang kemas boleh dicari, tetapi nyawa tiada galang ganti. Selagi boleh berusaha, saya tidak mengalah untuk bebaskan diri daripada penyakit itu. Sehingga hari ini, saya tidak mampu menebus barang kemas yang dibeli dengan hasil titik peluh bekerja sebagai anak seni.





"Tidak mengapa kerana saya baru bangkit dan mula bekerja selepas dua tahun kurang mendapat tawaran berlakon. Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya dan boleh bekerja seperti dahulu," ujar pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah, 71, yang terpaksa menggadai barang kemas untuk membiayai rawatan apabila disahkan menghidap kanser rahim tahap satu, tiga tahun lalu.

Mak Jah berkata, ketika itu, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana memerlukan wang untuk menampung kos rawatan yang menelan puluhan ribu ringgit. Dramatis yang terkenal dengan watak antagonis itu berkata, ketika disahkan menghidap penyakit itu, dia berdepan kemurungan selama enam bulan.

Dia berkurung dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan. Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga mengakui, dia bagaikan patah semangat dan hilang kekuatan untuk meneruskan hidup kerana membayangkan maut yang menanti. Namun, selepas lebih tiga tahun menderita, pelakon filem 'Mami Jarum', 'Lady Boss' dan 'Hingga Hujung Nyawa' itu disahkan bebas kanser, April lalu.

"Ketika sakit, saya tolak tawaran berlakon kerana memikirkan tiada guna lagi saya terus mengejar duniawi. Doktor yang merawat marah kerana saya terlalu melayan emosi. Saya hanya kembali bangkit, tahun lalu selepas mendapat motivasi daripada seorang ustaz. Ketika itu, saya bersolat setiap waktu di masjid hingga ustaz pelik melihat saya menangis seorang diri setiap hari," jelasnya.

Mula berlakon secara serius menerusi drama 'Sri Panggung' terbitan Serangkai Filem pada 1987 , Mak Jah berkata, ustaz itu turut menasihatkannya bersabar dengan ujian Allah. Mak Jah yang membintangi lebih 100 drama dan menjayakan berpuluh-puluh filem memberitahu, penyakitnya pulih berkat doanya ketika menunaikan umrah di Makkah pada 2017.

"Ustaz memaklumkan, saya beruntung dan terpilih kerana diuji dengan penyakit. Saya tahu akan mati, sudah tentu membuat persediaan untuk kembali ke pangkuan-Nya. Mendengar nasihatnya, saya bersemangat untuk bangkit semula. Saya menjalani kehidupan seperti biasa, tidak lagi menjauhkan diri daripada rakan, tanpa mensia-siakan ibadat saya. Saya ke Tanah Suci untuk menjalani penggambaran drama 'Kisah Dari Makka'h. Ketika itu, saya tidak kuat sangat, tetapi saya tidak putus asa berdoa di depan Kaabah, setiap hari," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: