20 June 2019

HATI DATIN FADILAH MANSOR TERGURIS, KEIKHLASAN ARWAH SUAMI DIPERTIKAI


"Sejak awal tahun lagi, saya nampak perubahan sikap arwah yang selalu termenung. Arwah ada menyatakan, hatinya luluh dengan sikap individu yang dipercayainya itu. Ia bermula apabila individu terbabit mempertikai ketulusan arwah, sedangkan beliau sering membantu dengan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan.





"Paling membuatkan arwah terkilan apabila mereka membelakanginya dalam banyak perkara, terutama membabitkan penganjuran sebuah majlis. Ketika Ramadan lalu, pihak terbabit hanya berkongsi jemputan menerusi kumpulan WhatsApp (WA).

"Tiada siapa yang menghubunginya untuk memberikan jemputan, membuatkan arwah begitu terasa dan kekecewaan itu dibawa hingga akhir hayatnya," demikian kata balu Datuk A Rahman Hassan, Datin Fadilah Mansor, 59, yang mengakui hatinya terguris dengan sikap segelintir individu yang mempertikai keikhlasan arwah suaminya membela nasib artis.

Fadilah berkata, arwah suaminya sering meluahkan perasaan hingga kerap termenung apabila niat baiknya membantu teman seperjuangan diragui segelintir pihak. A Rahman menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, pada 13 Jun lalu akibat strok dan pendarahan otak.

Tambah Fadilah lagi, dia berkongsi luahan arwah suaminya sekadar untuk mengingatkan individu atau pihak berkaitan supaya jangan mudah menjatuhkan hukum dan percaya bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa usul periksa. Katanya, sebagai isteri dan pendengar setia, hatinya terluka kerana arwah sangat menyayangi rakannya seperti ahli keluarga sendiri.

"Siapa yang mengenali arwah pasti tahu sifatnya. Arwah penyayang dan tidak menyimpan dendam, walaupun terpaksa berdepan pelbagai tohmahan. Meskipun membendung perasaan kecewa hingga akhir nafas, arwah tetap memaafkan perbuatan pihak terbabit. Cuma, sebagai isteri saya terkilan melihat perubahan sikapnya yang kerap bersedih, tetapi arwah sentiasa bersangka baik," ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan A Rahman pada 25 Disember 2014.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: